Penantian 21 keluarga Rumah Amu Sengkuang Tinting Kemaya  berakhir

SRI AMAN: Sambutan perayaan Gawai Dayak tahun ini menjadi tahun bermakna dan membawa tuah kepada 21 keluarga penduduk Rumah Amu Sengkuang Tinting Kemayau, di sini 14 April lalu.

Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang telah membantu dalam merealisasikan hasrat penduduk untuk membina sebuah rumah panjang baharu.

Penantian 21 keluarga Rumah Amu Sengkuang Tinting Kemayau selama ini berakhir apabila tapak tempat rumah baharu akan mula diratakan dalam tempoh terdekat.

PERASMIAN… Jugah merasmikan Upacara Pecah Tanah bagi tapak rumah panjang baharu sambil disaksikan oleh penduduk Rumah Amu Sengkuang Tinting Kemayau

Jugah menegaskan kerajaan persekutuan sentiasa memberi kemudahan terbaik untuk rakyat agar dapat bersama mengecapi kemajuan dan pembangunan yang dirancang.

“Kemajuan dan pembangunan tersebut mampu menjana ekonomi dan seterusnya dapat menaik taraf kehidupan masyarakat luar bandar.

“Aspek itu menjadi dasar utama kerajaan merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan bagi memajukan rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan ianya menjadi dasar kerajaan persekutuan untuk mempercepatkan pembangunan di luar bandar bagi merapatkan jurang kemiskinan antara luar bandar dan bandar.

PECAH TANAH… Jugah bergambar dengan penduduj Rmuah Amu Sengkuang Tinting selepas upacara pecah tanah bagi tapak pembinan rumah panjang baharu pada 14 April lalu.

Demikian ucap Jugah semasa Majlis Perasmian Upacara Pecah Tanah bagi tapak rumah panjang baharu Rumah Amu Sengkuang Tinting Kemayau pada Ahad lalu.

Jugah juga menyeru rakyat di kawasan Parlimen Lubok Antu memberi kerjasama dengan kerajaan persekutuan ketika projek pembangunan dilaksanakan di penempatan masing-masing.

“Kita menggesa agar masyarakat terus memberikan sokongan penuh kepada kita untuk merealisasikan agenda dan dasar pembangunan kerajaan Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.

Majlis Pecah Tanah ini dihadiri kira-kira 100 orang penduduk Rumah Amu Sengkuang Tinting Kemayau.