Penantian bakal berakhir

JIKA anda mengikuti perkembangan isu semasa yang berlaku di dunia mengenai Covid-19, anda pasti tahu bahawa China merupakan negara pengeluar vaksin Covid-19 yang menjadi pilihan.

Ya benar. Ini yang berlaku apabila vaksin buatan China dipercayai mampu berperanan sebagai penjana keyakinan dan tunjang kepada negara-negara terbabit dalam usaha melawan pandemik Covid-19, lapor media antarabangsa.

Jadi, apakah vaksin yang dikeluarkan oleh negara yang mempunyai penduduk sekitar 1.4 bilion itu? China berjaya menghasilkan dua vaksin iaitu daripada syarikat Sinovac dan Sinopharam.

Pakar Kesihatan Amerika Syarikat Kate Tulenko baru-baru ini menyatakan vaksin tersebut adalah selamat, berkesan dan berbaloi atau sepadan dengan hasilnya.

Vaksin tersebut walaupun bersifat tradisional, namun ia berupaya membunuh virus koronavirus apabila disuntik ke dalam badan manusia.

Tahukah anda, Malaysia merupakan antara pelanggan utama kepada produk dari negara tersebut. Penantian seluruh rakyat Malaysia selama beberapa bulan ini bakal berakhir, apabila bekalan pertama CoranaVac daripada Sinovac Lifesciences Co Ltd (Sinovac) akan tersedia pada akhir Mac atau awal April ini.

Ini merupakan satu berita baik kepada seluruh rakyat Malaysia. Perkara itu menjadi realiti apabila Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) menjadi pihak yang bertanggungjawab membekalkan 12 juta dos vaksin kepada kerajaan selepas memeterai perjanjian dengan Sinovac pada 12 Januari lalu.

Dalam hal ini, kita jangan keliru kerana Pharmaniaga bukanlah pengeluar vaksin itu. Syarikat ini sebaliknya akan mengendalikan proses pembotolan serta mengendalikan logistik dan pengedaran vaksin itu ke hospital, klinik dan kemudahan lain.

Adakah anda antara rakyat bertuah dalam kumpulan pertama menerima suntikan ini nanti?

Pada Mac ini, Program Imunisasi Kebangsaan akan diadakan di 600 pusat vaksinisasi di seluruh negara. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mendedahkan, kerajaan menyasarkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada 75,000 orang dalam tempoh sehari.

Sasaran kerajaan ialah menyelesaikan pemberian vaksinisasi kepada 27 juta rakyat Malaysia atau 80 peratus daripada populasi penduduk setahun pada Mac 2022.

Dalam menanti pemberian imunisasi ini, namun masih terdapat segelintir pihak ragu-ragu mengenai keberkesanan CoronVac atau vaksin Covid-19 yang lain-lain walaupun banyak ujian klinikal telah dijalankan ke atas orang awam di luar negara.

Bahkan testimoni daripada beberapa pemimpin terkenal dunia yang telah menerima suntikan vaksin sebelum ini dihebahkan secara meleluasa masih belum dapat menyakinkan masyarakat.

Kenapa ada sebilangan masyarakat mempunyai perasaan ragu-ragu? Sebenarnya gerakan antivaksin ini mula timbul pada hujung tahun lalu.

Gerakan antivaksin itu bukan hanya berlaku di Malaysia malah di beberapa negara lain seperti Itali dan United Kingdom yang merupakan antara negara yang paling banyak mencatatkan kematian akibat Covid-19.

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah menyuarakan rasa kebimbangannya mengenai gerakan antivaksin ini kerana kumpulan tersebut menyebarkan maklumat salah berhubung vaksin Covid-19 hingga mencetuskan ketakutan global.

Justeru, gesaan daripada Gabungan Kesihatan Malaysia bahawa kerajaan mesti meningkatkan keyakinan rakyat terhadap vaksin Covid-19 mesti dipandang serius dan ditangani segera. Kini banyak cerita mengenai antivaksin, teori konspirasi dan maklumat palsu tersebar di media sosial serta dalam kumpulan sembang.

Kita tidak mahu gara-gara tindakan sesetengah pihak yang berfikiran sempit, Program Imunisasi Kebangsaan tergendala atau terhenti.

Ya, memang tiada orang boleh memaksa kita untuk menerima vaksin ini.

Bagaimanapun, masyarakat perlu bertanyakan diri sendiri adakah mereka mahu vaksin itu dalam melindungi diri dan orang sekeliling.