SARIKEI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di Pakan ditangguhkan sehingga penemuan terbaru.
Ketua Balai dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pencarian pasukan SAR tidak dapat dilakukan pada sebelah pagi semalam berikutan cuaca hujan lebat dan air sungai untuk ke lokasi besar dan deras.
Katanya, penduduk memulakan operasi pada jam 1 petang dengan menggunakan dua buah perahu namun gagal gagal menemui sebarang petunjuk positif.
“Pasukan SAR yang lain tidak dapat memasuki hutan kerana anak sungai yang dilalui sebelum ini dinaiki air akibat hujan lebat.
“Sehubungan itu, penduduk rumah panjang juga sepakat untuk melakukan pencarian sendiri dan akan memaklumkan sekiranya ada penemuan terbaru. Kita juga sudah juga sudah menyerahkan kes ini kepada pihak Polis untuk siasatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.
Mangsa Chemeral Mering, 63, dilaporkan hilang selepas menghadiri temu duga di Pejabat Kebajikan Daerah Pakan.
Selesai temu duga, mangsa dipercayai pulang ke Nanga Entaih dan akan dijemput oleh anak buahnya namun tidak kunjung tiba.
Dia kemudian berjalan kaki menyusuri jalan lama ke rumah panjang yang mengambil masa satu jam perjalanan namun mangsa tidak tiba di rumah panjang.
Menyedari kehilangannya, adik iparnya mengambil keputusan untuk mencari mangsa ke Nanga Entaih bersama 15 orang penduduk rumah panjang namun gagal menjumpai mangsa.
Berikutan itu satu laporan dibuat sebelum Ops SAR dilancarkan.