ARTIKEL

Pencarum KWSP lega

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

INI duit kami. Biarlah kami sendiri yang uruskan duit kami.

Lagipun, kami lebih tahu cara urus duit sendiri.

Ini sering diutarakan oleh pencarum apabila wang caruman KWSP mereka dicadang hanya boleh dikeluarkan secara berkala ataupun bulanan setelah berusia 55 tahun.

Tidak semua daripada 15.3 juta ahli KWSP yang berfikiran demikian.

Ada juga yang dapat menerima cadangan itu. Mereka serahkan kepada KWSP mengurus wang mereka selepas berusia 55 tahun kelak.

Bagi mereka, ia bagi memastikan wang caruman mereka kelak dapat digunakan sebaik mungkin selepas tidak bekerja lagi.

Sekurang-kurangnya dapat dinikmati secara bulanan mungkin hingga berusia 75 tahun.

“Itu pun kalau masih hidup lagi!” tegas seorang lagi rakan yang akan berusia 55 tahun pada 2024.

Dia kurang bersetuju apabila berborak-borak tentang cadangan KWSP kemungkinan pengeluaran wang caruman secara berkala atau bulanan dijadikan mandatori.

Ia berita yang amat mengejutkan! Seminggu cerita ini tular.

Ramai pencarum terkejut, gusar serta bimbang dengan kemungkinan itu.

Dikatakan selepas berusia 55 tahun kelak, tidak akan dapat mengeluarkan caruman secara penuh.

Bermakna, setelah berusia 55 tahun, pencarum hanya boleh mengeluarkan wang secara berkala ataupun bulanan.

Mudah faham, ibarat menerima wang pencen secara bulanan seperti penjawat awam yang bersara wajib setelah tamat perkhidmatan.

DUIT SENDIRI

Bezanya, duit pencen itu adalah duit pencarum sendiri, cuma pengeluaran bulanan diurus oleh KWSP.

“Itu duit kami. Bila lagi kami nak nikmati duit caruman kami sendiri.

Silap-silap kami mati dulu, baru simpanan boleh keluar!” Pernah baca kenyataan ini bukan?

Kenyataan itu diutarakan oleh pencarum yang mahukan caruman mereka dikeluarkan disebabkan desakan berikutan penularan COVID-19 yang menyebabkan ramai tiada kerja — sama ada diberhentikan kerja ataupun majikan tidak beroperasi lagi.

Mudah difahami, perlukan duit itu untuk memastikan ada makanan di atas meja di rumah.

Ketika itu, pengeluaran caruman KWSP ibarat Panadol ataupun ubat penahan sakit paling mujarab berikutan desakan hidup.

Ramai yang tidak dapat bekerja disebabkan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lama di rumah, duit simpanan semakin susut, malah ada yang kehabisan duit bagi membeli makanan untuk keluarga.

Tetapi, minggu lalu kenyataan KWSP menyebabkan pencarum pening kepala pula apabila KWSP tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan menjadikan pilihan secara berkala atau bulanan apabila mencecah usia persaraan 55 tahun secara sukarela kepada mandatori.

Dulunya KWSP ibarat sebagai ubat penahan sakit. Minggu lalu KWSP dikatakan menyakitkan hati.

“Apa hal perlu mandatori. Kan dah ada pilihan disediakan! Terserah kepada kami untuk uruskan wang yang hendak dikeluarkan kelak!” Ini jawapan seorang rakan apabila ditanya tentang cadangan KWSP itu.

“Saya tetap akan keluarkan secara penuh!” Seorang lagi rakan memilih pengeluaran secara bulanan dengan alasan bimbang tidak dapat menguruskan wang yang dikeluarkan secara penuh. Apa-apa pun, ia terserah kepada pencarum itu sendiri.

Lebih memeningkan kepala apabila kerajaan melalui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga terbuka kepada cadangan KWSP itu.

Namun Anwar memaklumkan perkara itu perlu diteliti dengan mengambil kira beberapa kekangan termasuk jumlah simpanan semasa pencarum KWSP.

UNTUK AHLI BAHARU

Dan, kemudian KWSP dalam kenyataan terbaharu menjelaskan pengeluaran secara berkala atau bulanan hanya terpakai untuk ahli baharu yang lahir pada atau selepas tahun 2010.

Ramai pencarum lega. Ada yang tersenyum.

Bermakna, selepas berusia 55 tahun boleh lagi keluarkan wang secara penuh — bukan bulanan.

Apa tidaknya, pencarum yang mungkin setahun, dua, tiga, empat atau 10 tahun lagi akan berusia 55 tahun masih dapat meneruskan perancangan untuk menentukan bagaimana mereka hendak menggunakan wang caruman itu apabila dikeluarkan kelak.

Pertama, ada yang akan menggunakan wang caruman itu untuk menunaikan haji.

Kedua, memulakan perniagaan atau menambah modal perniagaan.

Ketiga, ada yang bercadang menggunakan wang itu untuk tabung pendidikan anak-anak.

Keempat, melangsaikan pinjaman kereta.

Kelima, membuat pelaburan.

Keenam antara yang terpenting iaitu menyelesaikan baki pinjaman rumah. Ini berikutan ada yang perlu membayar pinjaman rumah sehingga berusia 65 atau 70 tahun.

Jika pilih pengeluaran bulanan RM1,000 sebulan, ia masih belum dapat digunakan untuk membayar bayaran bulanan yang ada perlu membayar lebih RM1,000 sebulan.

Malah ada hingga RM1,500 sebulan.

Sekurang-kurangnya dengan pengeluaran caruman apabila berusia 55 tahun kelak, baki pinjaman rumah dapat diselesaikan.

Jadi, tidak lagi perlu bimbang rumah akan ditarik oleh bank, jika tidak dapat dibayar.

IMPIAN PENCARUM

Memetik akhbar nasional, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memaklumkan, fleksibiliti untuk mengeluarkan jumlah wang lebih besar mungkin secara sekali juga boleh membantu dalam memenuhi impian mereka seperti membaiki atau mengubah suai rumah serta mengerjakan ibadah haji.

“Cadangan ini sewajarnya dijadikan sebagai pilihan dan bukan mandatori.

Apa-apa pun, setiap pencarum perlu ditanamkan sifat berdisiplin dalam mentadbir kewangan peribadi mereka,” katanya.

Dalam hal ini, setiap pencarum harus benar-benar bijak mengurus wang caruman sendiri kelak.

Ia melibatkan masa depan sekurangkurangnya untuk 10 hingga 15 tahun selepas pengeluaran penuh kelak.

Jika tidak, ia hanya akan merugikan.

Seperti nasihat seorang pak cik, “Duit KWSP ya mun dikeluar sekali gus, mun sik pande ngurus, kejap jak abis.

Boh jak kata RM100,000 atau RM200,000 diberik RM1 juta dapat diabis sekejap jak.

Jadi, kita mesti bijak ngurus duit ya.

Mun sik, terpaksa bekerja agik kelak.

Sik da lah istilah bersara.”

Apa-apa pun, pencarum lega.

Harus diingat wang itu sangat berguna bagi meneruskan hidup selepas berhenti kerja kelak.

Tanpa perancangan rapi, pencarum mungkin tiada lagi wang untuk meneruskan hidup.

Takkan nak bekerja lagi selepas itu?

BERITA LAIN

Skuad termahal buru juara

JIKA bercakap mengenai bola sepak, sudah pasti kebanyakan peminat menggemari kelab yang beraksi di Liga Perdana Inggeris. Ini kerana kebanyakan kelab seperti Arsenal, Manchester United,

Sayangi anak istimewa

HIDUP impikan kesempurnaan. Dahulu impian saya nombor satu memiliki anak-anak yang sihat, sempurna fizikal, beradab dan pandai sekolah dan panjang umur. Saya tidak impikan benda

Harapan selepas SPM

SABAN tahun ribuan pelajar di seluruh Malaysia mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ia adalah peperiksaan penting, sebagai detik permulaan anak-anak muda

Penulis upahan, kisah nasib dan Abang Jo

TATKALA Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuji Sarawak dan Premiernya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam podcast Meh Dengo Jap!

Pentingnya Kemahiran

JUMAAT minggu lepas, dua belas pelajar Universiti Malaysia Sarawak menamatkan latihan industri sebagai wartawan pelatih di akhbar kami — Suara Sarawak. Selama tiga bulan, mereka

Tiada kaitan dengan nasib

BERAPA ramaikah pemimpin, profesor, ahli perniagaan di dunia berjaya kerana nasib? Jika anda sebagai wartawan, penulis dan wartawan mengakui bahawa anda berjaya dan cemerlang dalam

BERITA TERBARU

Presiden Rusia tawa perdamaian bersyarat kepada Ukraine

MOSCOW, Rusia: Presiden Rusia, Vladimir Putin, semalam mencadangkan perdamaian kepada Ukraine dengan menggariskan syarat-syarat Rusia untuk menamatkan serangan dan memulakan rundingan damai, lapor Agensi Anadolu