Pencarum PERKESO tidak menyangka layak terima pencen ilat

BINTULU: Nge Kuok Ming, 53, sama sekali tidak menyangka masih mempunyai kelayakan untuk pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial(PERKESO) meskipun telah lama tidak mencarum sejak 2003.

Beliau sangat terharu apabila Pengarah PERKESO Sarawak Philip Sangkan dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sarawak Awang Raduan Awang Omar berkunjung ke rumahnya di Lucky Garden, Jalan Tanjung Batu, di sini bagi menyampaikan kerusi roda dan barangan keperluan asas lain
untuk memudahkan urusan hariannya.

Beliau sangat bersyukur kerana faedah yang diperolehinya daripada PERKESO sangat membantu kehidupannya.

Nge mengalami lumpuh separuh badan sebelah kiri sejak Januari lalu dan telah menjalani rawatan di Hospital Sibu.

Beliau telah memohon pencen ilat dan tarikh notis pada 26 April lalu dan berdasarkan maklumat dan dokumen yang diterima pihak PERKESO, tuntutan pencen ilat beliau memenuhi syarat kelayakan caruman yang mana jumlah keseluruhannya sebanyak 144 caruman.

Sementara itu, Philip berkata PERKESO amat prihatin terhadap segala permasalahan yang dihadapi oleh pencarum-pencarum dan sentiasa cuba membantu untuk mendapatkan faedah perlindungan keselamatan sosial yang mereka layak mendapatkannya.

Meskipun mereka tidak lagi bekerja dan mencarum ketika menghadapi keilatan, tetapi sekiranya mereka memenuhi syarat kelayakan caruman yang diperlukan bagi memenuhkan syarat kelayakan Skim Keilatan PERKESO serta disahkan ilat oleh Jemaah Doktor, mereka masih layak untuk menerima faedah Skim Keilatan PERKESO termasuk pencen ilat, katanya.

Justeru, bagi mereka yang mempunyai keilatan dan ingin menyemak kelayakan caruman bagi Skim-skim PERKESO, boleh mengunjungi mana-mana pejabat PERKESO yang berhampiran untuk melakukan semakan secara terperinci dengan membawa dokumen berkaitan bagi memudahkan proses semakan.

Philip dan Awang Raduan merakamkan gambar bersama Nge.

 

NGE KUOK MING…

Suara Sarawak