Pencuri dicekup mantan Datuk Bandar

KUCHING: Seorang mantan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bersama pengawal keselamatannya berjaya menangkap seorang dari dua lelaki, yang dipercayai cuba mencuri kabel pada tiang milik Sarawak Energy di Jalan Demak Jaya, Petra Jaya.

Kegiatan kedua-dua suspek itu disedari oleh pengawal keselamatan yang bekerja di rumah mantan Datuk Bandar DBKU terbabit, apabila melihat kelibat salah seorang daripada mereka memanjat tiang elektrik berkenaan manakala rakannya menunggu di bawah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian sekitar jam 9.30 malam semalam apabila dihubungi pengawal keselamatan terbabit bagi memaklumkan kejadian.

“Suspek dipercayai cuba mencuri kabel di tiang elektrik yang terletak di hadapan rumah mantan Datuk Bandar DBKU.

“Suspek yang ditangkap berusia 24 tahun manakala rakannya berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Awang Din menambah suspek yang ditangkap telah diserah kepada pasukan polis peronda yang datang ke tempat kejadian selepas menerima maklumat.

Katanya sebuah motosikal termasuk peralatan mencuri yang digunakan suspek juga dirampas.

Beliau berkata suspek juga pernah ditangkap kerana terlibat dengan kes pecah rumah dan curi.

“Suspek akan direman untuk siasatan lanjut manakala rakan sejenayahnya yang dikenali sebagai ‘Boboi’ sedang dikesan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan.

Suspek yang ditangkap selepas cuba mencuri kabel di tiang elektrik di hadapan rumah seorang mantan Datuk Bandar DBKU.

Suara Sarawak