Pencuri rim dan tayar motosikal berjaya ditangkap

PADAWAN: Seorang lelaki warga tempatan disyaki terlibat dalam kes kecurian rim dan tayar sebuah motosikal di pekarangan bangunan Everise, Jalan Matang pada Ahad diberkas polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, identiti suspek dikenal pasti menerusi video rakaman Kamera Litar Tertutup(CCTV) bangunan berkenaan.

Menurutnya, rakaman terbabit merekodkan seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil berwarna putih dilihat melakukan tindakan mencuri rim serta tayar motosikal ketika kejadian.

“Susulan itu, sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Padawan berjaya menahan suspek di kawasan Taman Sri Matang sekitar jam 12.40 tengah hari.

CURI… barangan kes berupa tayar dan rim motosikal turut ditemui

“Ketika disoal siasat, suspek telah mengaku atas kesalahan mencuri barangan kes terbabit ketika kejadian,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dedah beliau, suspek berusia 34 tahun itu turut memberikan alasan rim dan tayar yang dicurinya bertujuan untuk diletakkan di motosikal miliknya.

Tambahnya, semakan rekod lampau bagaimanapun mendapati suspek tidak mempunyai sebarang jenayah lampau.

Sehubungan itu, katanya, suspek bersama barangan kes termasuk kenderaan Kancil telah dibawa ke IPD Padawan untuk tindakan siasatan lanjut.

Tambah Aidil, permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan pada 11 Ogos 2020(hari ini).

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak