KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino yang berlaku pada masa ini tidak menjejaskan sasaran pendapatan eksport koko sebanyak RM8 bilion tahun ini, kata Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Dr Ramle Kasin.
Beliau berkata perolehan eksport koko menunjukkan trend yang positif sejak awal tahun sehingga Jun ini didorong oleh permintaan yang berterusan.
“Pada dasarnya, fenomena El Nino akan beri kesan kepada pengeluaran koko, namun tidak semua tempat (negeri) mengalami kesan yang teruk berpunca daripada fenomena tersebut.
“Saya percaya dengan keadaan ekonomi negara yang bertambah baik, asas-asas yang kukuh serta permintaan berterusan, Malaysia mampu capai sasaran tersebut,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran produk baharu coklat Benns oleh Benns Chocolate Factory Sdn Bhd.
Produk tersebut dilancarkan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching.
Terdahulu, Siti Aminah dalam ucapannya memberitahu perolehan eksport koko pada 2022 meningkat sebanyak 13 peratus kepada RM7.8 bilion berbanding RM6.8 bilion pada 2021.
“Manakala bagi tempoh Januari hingga Mac 2023, perolehan eksport coklat juga meningkat sebanyak 30 peratus iaitu kepada RM387.7 juta berbanding RM297.9 juta pada tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Ramle berkata Benns Chocolate Factory memulakan kerjasama dengan LKM melalui surat cadangan pada Januari 2023.
“Antara cadangan yang dipersetujui adalah LKM melalui Koperasi Kluster Koko membekalkan kira-kira 90 tan metrik biji koko kering tempatan dengan kualiti gred SMC1 dan bekerjasama berkaitan penyelidikan dan pembangunan koko, coklat serta program pemasaran.
“Setakat ini, Koperasi Kluster Koko telah berjaya membekalkan sebanyak 13.5 tan metrik biji koko tempatan kepada pihak Benns,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 50 tan metrik lagi dibekalkan pada bulan hadapan, manakala sasaran bekalan biji koko pada tahun ini, adalah sebanyak 80 tan metrik.
“Biji koko yang dibekalkan oleh Koperasi Kluster Koko adalah daripada biji koko kering yang dikeluarkan oleh petani koko dari Semenanjung, Sarawak dan Sabah.
“Pada tahun lalu (2022), aktiviti jual beli biji koko kering yang diuruskan oleh Koperasi Kluster Koko adalah sebanyak 270 tan metrik,” tambahnya.
Pengeluaran produk coklat yang menggunakan biji koko tempatan seperti coklat Benns adalah selaras dengan sasaran LKM untuk membangunkan coklat premium Malaysia dan meningkatkan pendapatan petani koko, katanya. – Bernama