Trending

Pendapatan sampingan niaga SAMOSA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

Tidak dinafikan, cabaran ekonomi kian terasa dan semakin ramai mula berjimat cermat, mengurangkan kos dan membuat kerja simpanan.

Usaha untuk menambah pendapatan usah dipandang remeh.

Jauh di sudut hati seorang suri rumah sebenarnya tersimpan segala macam perasaan ingin membantu menambah pendapatan keluarga. 

Begitu juga kisah suri rumah yang nekad memulakan perniagaan samosa secara kecil-kecilan untuk menjana pendapatan sampingan sejak Julai tahun lalu. 

Pengusaha samosa ADWrecipe, Zawani Aziz, 38, berkata dia mendapat modal perniagaan daripada suami, Addy Nazri Bujang, 45, dengan niat sekadar mencuba nasib untuk berniaga.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka samosa jualannya mendapat tempat di hati pelanggan.

“Saya hanya menghantar samosa di gerai jualan kuih, kemudian timbul idea untuk membuat jualan samosa sejuk beku bagi memudahkan pelanggan menikmati samosa lebih cepat dan mudah. 

“Saya mula mengambil tempahan dan mempromosi samosa sejuk beku sejak 26 Julai tahun lepas di media sosial Facebook, TikTok dan WhatsApp,” katanya kepada Suara Sarawak. 

Selain media sosial, pembelian secara terus atau menjadi pembekal samosa sejuk beku juga disediakan.

Menurut Zawani, terdapat enam jenis samosa ditawarkan iaitu samosa daging, ayam, sardin, bergedel, karbonara dan bologna pada harga RM10 untuk bungkus kecil dan RM25 bungkus besar. 

Setiap kali membuat tempahan, Zawani menerima tempahan lebih kurang 20 bungkus dan ke atas. 

Menurutnya, ada pembeli membeli untuk makan sendiri dan ada yang jadi pembekal iaitu menjual balik samosa sejuk beku atau digoreng.

“Perniagaan semakin baik sebab saya ada ejen samosa yang tolong jualkan. 

“Berdasarkan penilaian pelanggan, kebanyakan mereka suka disebabkan rasa dan inti yang banyak,” katanya. 

Namun, dia tidak menafikan setiap perniagaan ada cabaran yang perlu dihadapi dan cabaran itu menjadi pemangkin untuk terus menambah baik perniagaan.

Seperti peniaga lain, kenaikan harga barang menjadi cabaran utama buat Zawani.

“Jika dijual terlalu mahal susah untuk orang membeli dan berniaga semula samosa sejuk beku. 

“Jadi, saya terpaksa mencari kedai atau pasar raya yang ada jualan promosi dan membuat tinjauan harga sebelum membeli dalam kuantiti banyak,” ujarnya kepada pemberita. 

BAZAR MINI

Menjelang Ramadan, seperti tahun sebelumnya Zawani turut membuka bazar mini di depan rumah dengan menjual pelbagai jenis kuih-muih serta samosa bagi memenuhi cita rasa pelanggan. 

Bazar mini Zawani beroperasi 4 hingga 6 petang di Kampung Matang Batu 10, Jalan Dato Tuanku Yassin, Kuching. 

“Selain samosa, saya turut menjual roti john, manakala kuih-muih dan makanan panggang lain ialah jualan daripada saudara yang turut bersama-sama mencari rezeki.

“Roti john hanya dijual pada bulan puasa yang turut dibantu anak lelaki sulung berusia 14 tahun,” katanya. 

Besar harapan Zawani agar perniagaan samosanya terus berkembang demi menambah pendapatan lebih banyak dan produk samosanya semakin dikenali ramai. 

“Saya berharap agar samosa sejuk beku yang cuba saya usahakan ini semakin dikenali ramai dan pada masa yang sama turut membantu berkongsi rezeki dengan orang lain yang menjadi ejen penjual samosa goreng. 

“Apabila menerima banyak tempahan, saya meminta bantuan adik-beradik dan saudara terdekat dengan memberi upah.

Malah, ejen yang menjual balik samosa turut menjana keuntungan,” ujarnya.

Selain itu, Zawani turut menyediakan perkhidmatan penghantaran terus kepada pelanggan dengan mengupah penghantar makanan dan ia secara tidak langsung turut membantu mereka menjana pendapatan sampingan. 

“Alhamdulillah, pendapatan saya mampu menampung perbelanjaan harian,” ujarnya bersyukur dengan rezeki berterusan. 

SENTUHAN KERAJAAN

Ujarnya, melihat ramai yang terkesan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tampil dengan program Wanita Bangkit Berniaga — sedikit sebanyak membantunya mengembangkan perniagaan.

Program ini bertujuan memberi bimbingan kepada wanita memerlukan terutamanya yang hilang pendapatan atau ibu tunggal untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Pada 18 Februari lalu, saya berpeluang menyertai Program Keusahawanan Wanita Bangkit KPWKM anjuran KPWKM oleh Datuk Sri Nancy Shukri.

“Dalam program yang diadakan di Dewan Baitulmal, Majma Mall Kuching itu, peserta diberi modal perniagaan sebanyak RM500. 

“Modal tambahan inilah saya guna untuk membeli keperluan barang jualan dengan kuantiti lebih banyak,” katanya turut menzahirkan ucapan terima kasih dengan bantuan Kerajaan Persekutuan. 

Untuk pengetahuan, program ini melatih dan memberi sokongan kepada wanita untuk memulakan perniagaan sehingga mampu berdikari dari segi ekonomi, terutamanya mereka yang hilang pendapatan, pencari nafkah utama atau ibu tunggal. 

Bantuan disalurkan kepada wanita memerlukan bantuan segera kewangan dalam mengoptimumkan potensi individu berdasarkan kemahiran agar tidak terus bergantung kepada bantuan kerajaan sepenuhnya.

Kepada orang ramai yang berminat untuk menikmati samosa air tangan Zawani, bolehlah terus membuat tempahan tiga hari lebih awal dengan menghubungi talian 018-9780275 atau Facebook Zawani Aziz.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Malam Kesenian Islam

Malam Kesenian Islam pada tahun ini membuka tirainya dengan acara

IPG BERSELAWAT

INSTITUT Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (IPGKBL) mengadakan Program Majlis

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru