Pendekatan tersendiri kekalkan prestasi atlet

PERSATUAN Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) bercadang menganjurkan beberapa program serta pertandingan selepas ini.

Pendekatan tersebut bertujuan meneruskan kesinambungan persiapan atlet terlibat dengan Sukan Malaysia (Sukma) Johor yang diubah tarikhnya ke tahun 2022.

Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim memberitahu, satu tempoh yang agak lama untuk menuju ke tahun 2022 bagi penganjuran semula Sukma Johor.

Beliau berkata, cadangan untuk menganjurkan program mahupun beberapa kejohanan pada masa akan datang dilihat sebagai langkah yang tepat.

“Sekurang-kurangnya melalui pendekatan seperti itu atlet kita dapat mengekalkan prestasi masing-masing, sekali gus meletakkan mereka cukup bersedia untuk berdepan kejohanan dwitahunan kelak,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak baru-baru ini.

Beliau mengakui atlet yang berada dalam skuad ketika ini masih meneruskan latihan mereka seperti sedia kala.

Jumaat percaya persatuan negerinegeri lain juga melaksanakan pendekatan yang sama mengambil kira situasi negara yang dibayangi gelombang ketiga pandemik Covid-19 ketika ini.

“Kita amat berharap mendapat sokongan serta bantuan daripada pihak Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) untuk melaksanakan penganjuran program dan juga pertandingan yang bakal dilangsungkan kelak,” jelasnya.

Tambahnya, arahan kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga membataskan perancangan semua badan sukan di negara ini.

Jumaat berkata, besar imbuhannya jika menganjurkan sebarang kejohanan ataupun program yang menjurus kepada pembentukan kredibiliti atlet seperti diinginkan itu dalam merealisasi impian badan induk (PMNS) yang mahukan atlet muay thai Sarawak terus disegani pada Sukma Johor kelak.

Dalam perkembangan sama, Jumaat memberitahu, pihaknya menyambut baik pembatalan Sukma Johor itu dan melihat ia sebagai langkah tepat dalam menyekat penularan virus berbahaya itu.

“Pengumuman pembatalan Sukma Johor beberapa hari lepas memperlihatkan betapa kerajaan mengambil berat keselamatan rakyat seluruh negara,” katanya.

Suara Sarawak