WALAU apa-apa pun gelarannya, peranannya tetap sama sebagai pendidik.
Guru, pensyarah dan pengajar, tiada beza takrifnya.
Menjalankan tugas demi anak didik mengecapi kejayaan, biarpun terpaksa berkorban masa, tenaga, malah wang ringgit.
Tanggungjawabnya besar dalam mendidik insan sehingga melahirkan generasi bijak pandai serta berkebolehan sekali gus berbakti kepada keluarga dan negara.
Mungkin ada yang beranggapan profesion guru mudah, namun pada dasarnya peranan yang dimainkan begitu besar.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa menggalas tugas, ia tetap ditempuh dengan cekal dan penuh iltizam.
CABARAN BERBEZA
Lazimnya, cabaran guru sering dikaitkan dengan kawasan luar bandar dan pedalaman, akses Internet, gajet, infrastruktur, fasiliti serta beberapa faktor lain.
Cabaran itu tidak menghalang mereka menjalankan tanggungjawab dan diharungi tanpa gagal.
Sebaliknya, ia dijadikan penyuntik semangat untuk terus menabur bakti selari dengan ikrar pendidik yang dilafazkan.
Ilmu disampai penuh ikhlas, agar anak didik tidak terabai dan ketinggalan dalam pelajaran seperti mereka di bandar yang serba lengkap dengan kemudahan.
Keberadaan nama besar serta tokoh penting juga lahirnya daripada murid yang mendapat didikan insan bergelar guru.
Kegemilangan guru itu datang kerana mereka merupakan tokoh yang memainkan peranan penting dalam membawa masa depan pelajar.
Sudah tentu, perasaan bangga dan gembira pasti terpahat di hati sang guru apabila melihat anak didiknya mengecap kejayaan.
Apatah lagi, pelajarnya menjadi individu yang dikenali, tokoh dan sebagainya dalam apa-apa bidang sekalipun.
Namun, tidak dinafi kan menjadi guru bukan tugas mudah, kerenah pelajar berbeza menjadi cabaran kepada guru.
SABAR
Khususnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Sebagai contoh, guru di sekolah pendidikan khas, pendekatan pastinya berbeza berbanding sekolah biasa.
Ia sekali gus menyaksikan guru mengorbankan masanya menggunakan kaedah dan pendekatan berbeza.
Pendekatan ini memastikan pelajar mendapat pendidikan sewajarnya dan tidak ketinggalan dalam akademik.
Pengorbanan mereka mungkin sukar diganti dengan wang ringgit, maka tidak salah untuk merai dan menghargai jasa guru yang menabur khidmat bakti kepada anakanak kita di sekolah.
Hari Guru yang dirai pada setiap 16 Mei pasti memberi makna besar kepada warga pendidik.
Ia diyakini dapat meningkatkan motivasi guru untuk terus ikhlas dalam khidmat baktinya kepada sektor pendidikan negara.
Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik.
