Pendidikan dan revolusi Penan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

LYDIANA Robinson, 5 tahun, merupakan gadis kecil Penan yang menghuni Kampung Long Jenalong, Telang Usan di Ulu Baram. Wajahnya begitu ceria menyambut penulis, membayangkan betapa begitu jarang orang luar hadir ke situ.

Di dalam kelasnya ada enam lagi kanak-kanak yang berusia sekitar empat hingga enam tahun. Kesemua mereka menghadirkan keceriaan yang sama.

“Mereka antara 10 murid yang pernah mengikuti kelas tadika di sini,” kata gurunya, Atika Fazila Wall Pan, 23 tahun. Atika juga merupakan anak jati kampung tersebut, yang memiliki dua blok rumah panjang kayu serta satu padang luas yang dijadikan padang bola sepak dan bola tampar.

Kediaman mereka berada di lereng bukit, yang ada antaranya sudah dibersihkan pokok-pokoknya untuk tujuan penanaman semula.

Tadika tempat Atika mengajar dan anak-anak ini menuntut ilmu sebenarnya dihadiahkan oleh Petronas. Sebanyak RM2.7 juta telah dibelanjakan untuk membina lima tadika ini di kawasan Ulu Baram, spesifiknya di kawasan Telang Usan.

Dan ia dibekalkan dengan tenaga solar, namun kebanyakannya masih belum dilengkapi dengan kemudahan Internet yang cergas, biarpun ada kemudahan “Connect Me”.

“Saya gembira untuk mereka (anak-anak ) ini. Mereka berpeluang untuk belajar di tadika dan mempersiapkan diri untuk ke tahun satu.

Perjuangannya, adalah untuk mereka mengenal huruf sebelum mengikuti pembelajaran di darjah satu dan cemerlang di situ.

Kami dulu tidak ada peluang seperti ini dan terus sahaja ke tahun satu,” kata Atika.

Beliau yang sudah berkahwin dan hanya belajar sehingga tingkatan lima sebelum ini, kini sedang meneruskan pembelajaran di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dalam jurusan Diploma Pendidikan Awal KanakKanak.

“Saya menaruh harapan untuk lulus dan bekerja keras untuk itu. Dan menjadi harapan… kejayaan saya akan memberi motivasi dan dorongan kepada anak-anak di sini untuk berjaya dan ramai akan menjejakkan kaki ke universiti,” ujarnya lagi. Tadika tersebut sebenarnya diselia oleh SeDidik, sebuah anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC). Cerita Lydiana dan Atika adalah kesungguhan anak-anak Penan di kawasan Ulu Baram untuk mengubah hidup mereka.

Mereka adalah simbol bahawa Penan pada masa depan tidak lagi miskin harta dan daif ilmu. Mereka akan menjadi antara yang berjaya. Ketika ini, untuk ke sekolah rendah dan menengah, mereka perlu pergi ke kampung jiran, Long Kevok atau ke Long Bemang, Long Lama, Bakong ataupun Marudi. Dan mereka terpaksa menetap di asrama demi memajukan diri. Justeru itu tidak hairanlah ada yang sekerat jalan.

Ia adalah pemandangan yang biasa sebenarnya, kerana ada dalam kalangan rakan penulis, termasuk Pegawai Daerah Telang Usan, Ezra Uda, terpaksa berada di dalam hutan selama dua ke empat hari untuk ke sekolah terdekat — dari Long Lammai ke Bario.

Itu antara cabaran yang sebelum ini melemahkan semangat anak-anak Penan ini. Namun pembangunan yang dibawa kerajaan ke sini diyakini akan mengubah segala-galanya.

Laluan balak yang kini dalam pembangunan di kawasan Telang Usan, harus menjadi titik tolak kepada perubahan kawasan tersebut, dan ia pasti memberi impak kepada pendidikan anak-anak di sini. Jalan hingga ke Long Leng mungkin akan siap lebih cepat, berbanding keadaan yang teruk ketika penulis mula bertandang ke sini dua tahun lalu.

Dan Long Jenalong serta Long Bedian, serta Long Kerangan merupakan antara kawasan yang terlibat. Sekurang-kurangnya suku daripada laluan ini sudah berturap dari Long Lama. Jika semua ini menjadi realiti, maka mimpi anak-anak Penan untuk berjaya sudah semakin hampir. Jalan raya mendekatkan mereka dengan pekan, bahkan bandar seperti Miri.

Dan ia juga akses yang memudahkan mereka memperoleh ilmu, tanpa perlu lagi dibelenggu emosi meninggalkan keluarga pada masa muda.

Apa-apa pun terima kasih harus diberikan kepada Kerajaan Sarawak yang mengambil berat akan kekurangan yang dialami oleh komuniti pedalaman ini. Jika jalan darat ini siap sepenuhnya kelak, ia akan memudahkan kawasan ini dikunjungi.

Percayalah, di sini kaya dengan lokasi menarik untuk pelancongan, apatah lagi kawasan-kawasan yang belum terusik oleh pembangunan. Malah komuniti Penan sendiri memiliki pelbagai kraf tangan yang menarik, yang kini semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa, setelah dipopularkan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Pengalaman “penan nomad” yang hidup meliar di hutan seperti sebelum ini akan tinggal kenangan.

Penduduk Long Jenalong ini misalnya, berpindah dan berkampung baharu selepas lebih 20 tahun hidup susah berpindah randah di hutan kini gigih mengubah hidup, imbas ketua kaumnya, Ugat Kong, 76 tahun. Mereka meninggalkan kehidupan berburu di hutan tetapi bertani, berladang dan menanam kelapa sawit.

“Ia menukar kehidupan kami,” katanya lagi. Beliau juga bersyukur atas keprihatinan dan budi jasa Petronas yang membina tadika, yang sekali gus menjadi binaan paling moden di kampung tersebut.

“Ia juga membolehkan ibu bapa anak-anak ini dan kampung sekitar menghadiri Kelas Dewasa atau Kedap,” katanya yang juga tidak tahu membaca atau menulis. Kata Atika, ada sembilan orang murid dewasa yang hadir ke kelasnya, yang bermula empat minggu lalu.

“Untuk mengajar mereka ini lebih mencabar kerana mereka ini golongan dewasa, ibu-ibu yang melucukan. “Kami tidak mengenakan bayaran, dan kadangkadang mereka hulurkan buahbuahan dan sayuran,” tambahnya lagi. Yang penting, Penan Long Jenalong ini sudah membuktikan kesediaan mereka untuk berubah. Ia juga mencerminkan kesungguhan kampung-kampung lain yang berdekatan.

Ketika ini sudah ramai dalam kalangan anak Penan yang bergelar siswazah dan bakal ada yang berstatus doktor falsafah. Ada ramai anak Penan yang kini berada dalam pentadbiran negeri, termasuk Residen Bintulu dan Pegawai Daerah di Telang Usan.

Dan ramai lagi sebenarnya yang berada dalam sektor swasta termasuk John Fery Jame, lulusan Universiti Malaya yang kini bertugas sebagai Eksekutif di Petronas.

Selepas ini akan ada saintis daripada kalangan anak Penan ini, mungkin pakar biodiversiti, memandangkan mereka lahir dan dekat dengan flora dan fauna di pedalaman negeri ini.

Yang pasti, mereka sebenarnya berterima kasih kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang bersungguh mengubah kehidupan mereka melalui kewujudan sekolah-sekolah di kawasan tersebut, ketika menjadi menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Penan pada 1990-an dulu. Di sinilah menurut mereka, “game changer” berlaku dan ramai anak Penan mula berjaya dalam pendidikan dan pekerjaan.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Buruh paksa moden

SEKALI-SEKALA media melaporkan pekerja asing, termasuk pembantu rumah di negara

Gibran di mata Prabowo

PEMILIHAN presiden (Pilpres) Indonesia berlangsung 14 Februari 2024. Sejumlah survei