ARTIKEL

Pendidikan eratkan hubungan New Zealand dan Malaysia – Kiro

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MELAKA: Pendidikan menjadi antara penghubung yang mengeratkan hubungan New Zealand dan Malaysia, kata Gabenor Jeneral New Zealand Dame Cindy Kiro.

Beliau berkata hubungan itu bermula pada awal 1940-an apabila tentera New Zealand membantu Malaysia semasa darurat dan kemudiannya Konfrontasi, sebelum pelajar Malaysia mula ke New Zealand di bawah Rancangan Colombo pada awal 1950-an.

“Alumni ini kembali ke Malaysia, memegang jawatan dalam perniagaan, sains, kerajaan dan akademik. Mereka telah banyak menyumbang dalam membina hubungan peribadi antara kedua-dua negara kita,” katanya dalam ucapannya semasa majlis makan tengah hari di Kolej Yayasan Saad, Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir pasangannya Dr Richard Davies, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia Pam Dunn, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki, Pengasas Kumpulan Pendidikan KYS Tan Sri Halim Saad dan Presiden KYS Business School Datuk Kamaruddin Awang.

Kiro berkata Malaysia terus menjadi sumber utama pelajar antarabangsa bagi New Zealand termasuk mereka yang mendapat biasiswa kerajaan Malaysia.

Kiro berkata beliau bukan daripada keluarga kaya dan pendidikan telah mengubah hidupnya serta membuka banyak peluang.

“Pendidikan telah terbukti menjadi batu loncatan penting bagi saya, membuka pintu kepada begitu banyak peluang, dan ingin saya menyatakan bahawa walaupun PhD saya adalah dalam dasar sosial, sarjana saya dalam perniagaan.

“Saya faham ada antara anda mungkin datang dari situasi yang sukar tetapi apa pun latar belakang anda, saya menggalakkan anda memanfaatkan masa anda di sini sepenuhnya,” kata Kiro, yang merupakan orang pertama daripada keluarganya yang melanjutkan pelajaran ke universiti.

Beliau menekankan kepentingan mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua kerajaan, sambil menambah bahawa lawatan oleh profesional akan menjadikan hubungan yang lebih kukuh.

Kiro tiba di Kuala Lumpur pada Ahad untuk lawatan sulungnya ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara selepas memegang jawatan pada 21 Okt 2021.

Lawatan negara selama empat hari itu atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Projek panel solar kurangkan kos elektrik

SEBUYAU: Kolej Universiti i-CATS telah melaksanakan Projek Pemasangan Panel Solar di Kampung Lumut Baru yang bertujuan untuk membantu penduduk di kawasan ini. Projek itu dilaksanakan

Jom lihat flora, fauna waktu malam

KUCHING: Orang ramai berpeluang untuk melakukan aktiviti Urban Forest Night Walk di Sama Jaya Nature Reserve, pada waktu malam bermula jam 7 hingga 10 malam.

Sambutan Hari Pers Nasional (HPN) 2024 meriah

JAKARTA: Sambutan Hari Pers Nasional (HPN) 2024 semalam dimeriahkan dengan kehadiran Delegasi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia. Delegasi ISWAMI Malaysia seramai 33 orang yang

BERITA TERBARU

Allahyarham Tun Taib, Arkitek Pemodenan

MIRI: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud digambarkan sebagai seorang Arkitek Pemodenan kerana sepanjang perkhidmatannya sebagai Ketua Menteri, beliau berjaya mengangkat serta