KUCHING: Pendidikan dan penguasaan kemahiran menjadi antara kunci penting bagi memastikan belia Sarawak mampu merebut peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup serta mengambil alih tanggungjawab meneruskan pembangunan negeri pada masa depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, golongan muda perlu memanfaatkan peluang pendidikan dan latihan kemahiran yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan keupayaan diri serta memenuhi keperluan industri.
Menurutnya, Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) di universiti milik kerajaan negeri membuka ruang kepada lebih ramai anak muda untuk melanjutkan pengajian dan meningkatkan kelayakan akademik.
Katanya, peluang itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana pendidikan dapat membantu golongan belia membina masa depan yang lebih baik, selain meningkatkan peluang memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan masing-masing.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog khas sempena Program Motivasi ‘Sedia Menghadapi Masa Depan’ anjuran Pergerakan Pemuda dan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Samariang yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Sharifah Hasidah menggalakkan golongan muda meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang penting dalam memenuhi keperluan tenaga kerja industri.
Menurutnya, belia yang tidak melanjutkan pengajian ke universiti juga mempunyai peluang membina kerjaya melalui latihan kemahiran di institusi seperti Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan GIATMARA.
“Peluang pekerjaan ada, tetapi kesesuaiannya bergantung pada kemahiran yang dimiliki. Kita mesti bergerak mengikut perubahan zaman, khususnya apabila pasaran memerlukan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang teknikal, digital dan sains,” katanya.
Beliau berkata, golongan muda perlu sentiasa memperluas pengetahuan, menguasai kemahiran baharu dan menyesuaikan diri dengan perubahan dunia pekerjaan bagi memastikan mereka kekal berdaya saing.
Selain pendidikan formal, beliau menegaskan kepentingan disiplin diri, kesungguhan belajar serta bimbingan ibu bapa dan guru dalam membentuk generasi muda yang berilmu dan bertanggungjawab.
Katanya, golongan belia juga perlu menggunakan teknologi secara bijak dengan memanfaatkannya untuk menuntut ilmu dan meningkatkan kemahiran, bukannya sekadar untuk hiburan atau permainan.
“Jangan gunakan telefon semata-mata untuk bergaya, hiburan atau bermain. Gunakanlah teknologi untuk menuntut ilmu dan meningkatkan kemahiran. Anak-anak Sarawak juga boleh berjaya, jadi rebut peluang yang ada untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang,” katanya.
Beliau menambah, golongan belia memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju pembangunan Sarawak kerana mereka bakal mewarisi tanggungjawab meneruskan kemajuan negeri, selain menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.






