Pendidikan untuk anak OKU

KUCHING: Kesedaran ibu bapa di Sarawak tentang pendaftaran dan pendidikan untuk anak-anak orang kelainan upaya (OKU) perlu ditingkatkan bagi mengelak keciciran dalam hak asasi manusia iaitu mendapatkan pendidikanyang sempurna.

Menurut Portal Pilihan Guru Pelajar Sekolah (GPS Bestari) pada 4 April lepas menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan menyediakan peruntukan RM142 juta sebagai elaun bulanan khas bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK) di seluruh negara.

Elaun tersebut diberikan khas bagi setiap MBK yang berdaftar di sekolah kerajaan sebanyak RM150 oleh KPM bagi memastikan tiada golongan OKU terpinggir mendapat hak asas manusiawi iaitu pendidikan yang sempurna Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Teo Nie Ching berkata, KPM melaksanakan dasar ‘Zero Reject Policy’ bagi MBK dan seramai 83,093 orang telah mendaftar dengan KPM setakat Januari 2019.

“Untuk Sarawak, sejumlah 5,804 MBK telah mendaftar setakat 31 Januari lepas berbanding 5,766 MBK pada 2018 dan daripada jumlah tersebut 147 MBK berada di sekolah pendidikan khas, 4,432 MBK sedang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi dan 590 MBK sedang menjalani Program Pendidikan Inklusif.

Berkeperluan Khas

Menurut beliau, angka berkenaan masih dianggap rendah kerana PBB menganggarkan 10 peratus daripada setiap negara di seluruh dunia terdiri daripada mereka yang berkeperluan khas.

Manakala, menerusi laporan media MalaysiaKini pada 22 September lepas, Ahli Majlis Kebangsaan Orang Kurang Upaya, Ruziah Ghazali berkata, hanya seramai 549,554 orang OKU didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga 2019 sedangkan terdapat kira-kira 4.8 juta OKU di Malaysia sehingga menyebabkan mereka yang tidak didaftar dinafikan keistimewaan pemegang kad OKU.

Pelbagai punca kurangnya kesedaran ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak OKU mereka untuk mendapatkan pendidikan dan mendaftar sebagai OKU di Jabatan Kebajikan Masyarakat. Antara penyebab utama ibu bapa enggan mendaftarkan anakanak OKU dan mendapatkan pendidikan yang sempurna adalah kerana stigma sosial yang dialami mereka tidak mahu dilabel sebagai orang kelainan upaya’.

Sikap demikian menyebabkan mereka malu untuk mendedahkan setiap kebolehan anak-anak yang OKU.

Bantuan kerajaan

Selain itu, sesetengah ibu bapa yang kaya juga tidak mengendahkan tentang pendaftaran anakanak OKU kerana mereka tidak memerlukan bantuan kerajaan.

Walaupun demikian, pendaftaran OKU amat penting untuk membantu kerajaan membuat perancangan jangka panjang buat mereka setelah ketiadaan ibu bapa nanti.

Selain daripada itu, punca lain adalah ibu bapa tidak yakin akan kemampuan anak OKU untuk mencapai kejayaan dalam bidang pelajaran, sukan dan kemahiran kerana kekurang yang mereka miliki sedangkan anak-anak itu boleh di didik dan diberi pendidikan di sekolah-sekolah khas yang kerajaan sediakan.

Secara kesimpulannya, ibu bapa memainkan peranan besar dalam memberikan yang terbaik kepada anak-anak yang kurang upaya untuk mendapatkan pendidikan sekali gus berkemampuan berdikari di atas kaki sendiri setelah ketiadaan ibu bapa mereka nanti.

Sikap malu kepada masyarakat dan kurang yakin kepada anak mereka sendiri harus ditepis, ibu bapa harus bekerjasama dan bergiat aktif dalam setiap aktiviti kerajaan dan bukan kerajaan dalam membantu anak-anak mereka yang kurang upaya.