Penduduk Abang Ali bersatu hati bersih kampung

BINTANGOR: Semangat pemuafakatan dalam kalangan penduduk membantu menjayakan program kempen kebersihan anjuran Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) Kawasan Tiga Kampung Abang Ali.

Pengerusi penganjurnya, Hussen Angga berkata, menerusi program itu, penduduk bersama membersih kawasan perkuburan dan persekitaran rumah masing-masing termasuk longkang.

Katanya, program yang dihadiri lebih 50 penduduk itu menyaksikan budaya gotong-royong terus subur dalam kalangan masyarakat di peringkat kampung, sekali gus mengeratkan hubungan sesama mereka.

“Serentak dengan penganjuran program ini, JKKK turut mengagihkan sebanyak 77 buah tong sampah untuk kegunaan penduduk setempat, ” katanya kepada wartawan Suara Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan , program bertujuan menceriakan kawasan kampung, menyemai kesedaran penduduk terhadap kebersihan di samping mengelak penularan wabak denggi.

Pada masa yang sama katanya, ia juga sebagai persiapan mereka menyambut Ramadan agar dapat beribadah dalam suasana yang lebih selamat, bersih dan selesa.

Hussen Angga menyampaikan sumbangan tong sampah kepada penduduk dalam kempen Kebersihan di Kampung Ali.

Dalam pada itu, Setiausaha JKKK Kampung Abang Ali, Hasminie Hussen memberitahu, semua tong sampah berkenaan dibeli oleh JKKK dengan menggunakan peruntukan yang disumbangkan oleh kerajaan termasuk wakil rakyat.

“Kita berharap penduduk dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disalurkan itu selain perlu tahu jadual pemungutan sampah supaya dapat dikutip mengikut masa yang ditetapkan.

“Pada masa yang sama, penganjur juga merancang untuk melaksanakan program lain bagi memanfaat penduduk. Antaranya, kempen derma darah selepas kejayaan penganjuran pertamanya baru- baru ini. Program ini dijangka melibatkan kerjasama Bank Darah Sarikei.

“Sementara itu, aktiviti pembersihan kawasan kubur yang diadakan sebelum ini, turut melibatkan penyertaan penduduk kampung Melayu sekitar Bintangor dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT),” jelasnya.

Hadir sama, Bendahari JKKK Kawasan Tiga, Kampung Ali, Kaunselor Hamjidah Abang Skawi dan Imam Surau Darul Ehsan, Jaapar Majid.

Antara penduduk yang membersih tanah perkuburan bersama anggota Bomba Bintangor.

 

Suara Sarawak