Penduduk Beradek-Semilang perlukan feri

DEMAK LAUT: Sekitar 5,000 penduduk Kampung Beradek, Beradek Cina, Semilang, Tiang Api dan Sungai Pinang merayu Kerajaan Sarawak segera melulus dan menyediakan perkhidmatan feri dari Pusat Komersial Demak Laut ke kawasan berkenaan.

Feri yang dicadang itu boleh beroperasi antara pangkalan Sungai Balang di sebelah kawasan Tanjung Embang dan di Tanjung Tapang dekat Kampung Sejingkat di sebelah Pusat Komersial Demak Laut dengan menyeberangi Sungai Sarawak.

Cadangan untuk menyediakan perkhidmatan feri di kawasan itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Kerajaan Sarawak untuk dipertimbang dan diluluskan.

Penghulu Kampung Beradek, Bolhassan Ibrahim memberitahu, jika perkhidmatan feri disediakan antara pangkalan Sungai Balang ke pusat komersial Demak Laut, ia akan memendekkan perjalanan penduduk dari kawasan Tanjung Embang ke Kuching.

“Lagipun sebuah jalan raya berturap sepanjang sembilan kilometer dari Kampung Beradek ke pangkalan Sungai Balang sudah lama dibina,” katanya.

Menurutnya, dengan menunggang motosikal dan terus menaiki perahu dari pangkalan Balang ke pangkalan Tanjung Tapang penduduk di kawasan ini hanya mengambil masa sekitar 20 minit untuk sampai ke pusat bandar raya Kuching.

Katanya, melalui laluan Sungai Balang dan Tanjung Tapang, penduduk tidak berhadapan masalah kesesakan lalulintas atau tidak melalui perjalanan yang jauh untuk sampai ke pusat bandar raya Kuching seperti yang berlaku di Kota Samarahan dan kawasan Tabuan.

Seorang penduduk Kampung Tiang Api, Hamsawi Nusi berkata, jika kawasan ini disediakan feri, kos pengangkutan akan menjadi lebih murah, mudah dan lebih selamat berbanding menaiki perahu terutama ketika arus sungai deras semasa musim hujan dan air pasang besar.

Katanya, jika ada pihak yang mengatakan kawasan ini kurang sesuai untuk feri kononnya, ia adalah laluan kapal kargo antarabangsa, namun sepanjang pengalaman beliau yang sentiasa berulang-alik menyeberangi sungai di kawasan ini mendapati perjalanan kapal di kawasan adalah tidak selalu.

“Andai ada (kapal) yang lalu di kawasan ini, pergerakannya agak perlahan dan ia boleh dielak jika juragan yang mengendalikan feri ini kelak berpengalaman dan mahir dalam mengemudi feri.

“Melalui feri juga ia akan dapat mengurangkan kos pengangkutan, sekali gus dapat memperkasakan proses pembangunan di kawasan Tanjung Embang yang meliputi 10,000 ekar kawasan yang masih banyak terbiar,” katanya.

Menurut Hamsawi, meskipun kawasan Tanjung Embang adalah kawasan pertanian, tetapi masih ramai petani di kawasan ini menjalankan aktiviti pertanian secara tradisi.

Seorang lagi penduduk, Sahari Sajeli, 72, dari Kampung Semilang berkata, impian penduduk untuk menikmati jalan raya terus ke pusat bandar raya telah lama terpendam.

Katanya, jarak Kampung Semilang, Beradek dan Tiang Api dengan pusat bandar raya Kuching adalah tidak jauh, hanya dipisahkan oleh Sungai Sarawak.

Menurutnya, disebabkan masalah perhubungan, kos pengangkutan hasil pertanian dari kawasan ini meningkat, malah banyak menimbulkan kerugian kepada petani.

“Oleh sebab itu tidak ramai yang berminat untuk membeli atau memborong hasil pertanian dari kawasan Tanjung Embang dan akhirnya hasil pertanian menjadi lambakan malah ada yang terbiar begitu sahaja,” katanya.