Penduduk berjaya tahan suspek curi kereta

KUCHING: Tindakan pantas penduduk berjaya menyekat seorang lelaki bersama kenderaan curi daripada lolos di Kampung Tabuan Melayu, pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, pihaknya ada menerima laporan kejadian sebelum mengarahkan pasukan penugasan Op Covid-19 ke lokasi sekitar jam 3 pagi.

Menurutnya, suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun.

“Setibanya di lokasi mendapati suspek telah ditangkap oleh penduduk kampung.

“Hasil semakan turut mengesahkan kenderaan yang dinaiki suspek merupakan kereta yang dilaporkan hilang di Taman Mendu, Jalan Wan Alwi sekitar jam 1 pagi tadi,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, katanya, pihaknya turut menerima laporan kes melibatkan pecah rumah dan kereta hilang oleh seorang mangsa berusia 32 tahun pada hari sama.

Dedah Awang Din, suspek telah berjaya memecah masuk rumah mangsa menerusi pintu belakang rumah serta membawa lari beberapa barang mangsa berupa telefon bimbit, beg silang, jam tangan dan sebuah kereta Toyota.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui semula barangan yang dicuri suspek di rumah berkenaan serta beberapa peralatan pecah rumah bersama sebilah pisau.

Susulan itu, jelasnya, suspek serta barangan kes kini telah direman dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, semakan rekod mendapati suspek pernah ditangkap berkaitan kes curi kenderaan dan dadah sebelum ini.

Ujarnya, kes masih disiasat dibawah Seksyen 457/ 379A Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau turut memuji tindakan berani penduduk kampung dalam bersama membanteras kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan masing-masing.

Suara Sarawak