Penduduk Dun Mambong mula terima bakul makanan BKSS 6.0

KUCHING: Sejumlah 10,070 isi rumah di Dun Mambong menerima bakul makanan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0).

Adun Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata bakul makanan tersebut mula diagih pada 8 Jun lalu sehingga 14 Jun ini melibatkan 83 lokaliti iaitu kampung dan perumahan.

Kata Jerip, agihan bakul makanan di Padawan lebih mudah kerana kawasan kampung kini mempunyai akses jalan raya termasuk bantuan dari sekumpulan sukarelawan yang membungkus dan mengagihkan bakul makanan.

Jelasnya, sukarelawan ini juga menggunakan pengangkutan sendiri untuk menyampaikan bantuan ke kampung-kampung.

“Bantuan dari sukarelawan ini mempercepatkan agihan bakul makanan kepada penduduk kampung. Dengan itu, penduduk kampung tidak perlu menunggu lama.

“Penduduk kampung juga tidak perlu keluar dari rumah untuk pergi ke Pejabat Daerah Kecil Padawan untuk mengambil bekalan ini, ketua kaum dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) akan agihkan dari rumah ke rumah,” kata Jerip kepada pemberita selepas majlis penyerahan bakul makanan di Pejabat Daerah Kecil Padawan, di sini hari ini.

Tambah Menteri Muda Pengangkutan itu, penduduk kampung yang tercicir dari senarai bantuan boleh datang kepada Pejabat Daerah Kecil Padawan dan maklumkan kepada Pegawai Daerah.

Selain itu katanya, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, perbincangan akan diadakan bersama Ketua Menteri terlebih dahulu untuk sebarang bantuan tambahan.

“Kita akan berjumpa dengan Ketua Menteri dan berbincang untuk membuat permohonan bekalan bakul makanan sekiranya PKP dilanjutkan. Bantuan yang ada ketika ini kita berikan kepada penduduk kampung,” katanya.

Suara Sarawak