Penduduk Jalan Baji yang terjejas sekatan pergerakan terima bantuan

SARIKEI: Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang akan mengagihkan bantuan kepada penduduk Jalan Baji yang terjejas akibat sekatan pergerakan.

Sehubungan itu, Menteri Muda Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh mengarahkan Pusat Khidmat DUN N.41 Kuala Rajang bersiap sedia menyempurnakan misi berkenaan.

Beliau yang juga ADUN N.41 Kuala Rajang mahu bantuan disalurkan kepada petugas yang mengawal kawasan terbabit.

“Saya menasihatkan penduduk agar kekal tenang dan jangan panik serta bekerjasama mematuhi arahan daripada semasa ke semasa,” katanya.

Jalan Baji di sini dikenakan sekatan pergerakan berikutan kes positif Covid -19 di kawasan itu.

Arahan dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sarikei bagi tempoh 14 hari bermula 30 Mac 2021 sehingga 12 April.

Pasukan Polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di arah mengawal beberapa laluan termasuk Jalan Baji, Jalan Haji Karim, Jalan Shariff Mashor, Jalan Century dan Jalan Masjid Baru.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memulakan proses pengumpulan nama penduduk yang terjejas.

sekatan di persimpangan jalan masuk

Suara Sarawak