KUCHING: Rata-rata penduduk di kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mahu mengekalkan penggunaan pelitup muka di kawasan mereka.
Datuk Bandarnya Datuk Wee Hong Seng memberitahu, respon positif tersebut diperoleh menerusi tinjauan pendapat di kawasan MBKS.
“Kita mendapat maklum balas daripada penduduk setempat untuk mengekalkan penggunaan pelitup muka bagi tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.
“Mungkin ada yang menganggap tiada sebab untuk terus menggunakannya, bagaimanapun diharap agar semua mematuhi penggunaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai cabut undi bagi pemenang bertuah sempena Kuching Food Festival, di MBKS, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak MBKS juga akan meletakkan notis menggunakan pelitup muka di sekitar kawasan pentadbirannya termasuk di pasar.
Menurutnya lagi, bagi penggunaan pelitup muka di dalam bangunan MBKS bagi sebarang urusan juga masih dikekalkan.
Wee turut memberitahu bahawa penduduk setempat termasuk di kawasan Kuching masih menggunakan pelitup muka sekali gus menunjukkan kesedaran tinggi terhadap keadaan semasa.