Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin
BAU: Penambahbaikan infrastruktur dan memastikan kebajikan masyarakat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar terjaga merupakan antara perkara yang ditagih penduduk daripada wakil rakyat kawasan itu yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Menyuarakan perkara itu, Ketua Kampung Opar Dewen Giam, 52, berkata infrastruktur jalan raya Bau-Sematan perlu dinaik taraf secepat mungkin bagi memudahkan penduduk menggunakan jalan itu untuk menjalankan aktiviti pertanian.
“Kita memerlukan jalan raya yang elok untuk masuk ke kawasan pertanian. Orang kampung tanam kelapa sawit di tanah mereka sendiri dan tanah mereka bukan besar dan ia berselerak. Kalau ada jalan raya, mereka mudah nak tanam sawit.
“Sistem perparitan di kawasan ini juga tidak diselenggara dengan baik. Di sini menggunakan parit tanah jadi apabila rumput tumbuh, ia tersumbat dan ini menyebabkan banjir. Di kampung ini memang selalu banjir,” katanya kepada Bernama.
Terletak berdekatan dengan Tanjong Datu, DUN Opar memiliki 58 kampung dengan majoriti penduduk terdiri daripada dua kelompok besar kaum Bidayuh iaitu daripada suku Salako dan Jagoi.
Berada di bawah Parlimen Mas Gading, kawasan itu merangkumi daerah Sematan, Lundu dan Bau.
Tinjauan Bernama di Kampung Temaga Melayu, satu-satunya penempatan orang Melayu di DUN itu, yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Kampung Opar, mendapati penduduknya mahu kebajikan komuniti nelayan terus dijaga dengan memberikan insentif tertentu terutama ketika musim tengkujuh yang sedang melanda.
Μewakili Persatuan Nelayan Kawasan Sematan-Lundu, seorang penduduknya, Sarip Eddi, 52, berkata 40 peratus penduduk di kawasan itu menyara kehidupan dengan menjadi nelayan sungai atau laut.
“Sekarang musim monsun timur laut, jadi kami tak boleh nak turun ke sungai untuk cari kepah, siput dan udang apatah lagi turun ke laut. Jadi aktiviti bertukang menjadi sumber pendapatan untuk menyara keluarga.
“Kerajaan negeri atau pusat diharap meneruskan atau menambah bantuan sara hidup untuk kami ketika tidak dapat turun ke laut. Kalau tiada insentif, ada sesetengah nelayan memang akan rasa terkesan. Dengan adanya bantuan ini, ia dapat meringankan beban,” katanya sambil menambah sejumlah 705 penduduk mendiami perkampungan itu di 107 rumah.
Beliau berkata antara insentif yang diterima oleh komuniti nelayan di situ selain subsidi minyak ialah RM250 sebulan daripada Kerajaan Persekutuan dan RM50 sebulan daripada kerajaan negeri.
Katanya selain bertukang, penduduk mengusahakan aktiviti pertanian seperti menanam lada hitam dan menternak ayam kampung.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, jumlah pengundi DUN Opar ialah 11,436 dengan 45.23 peratus (5,173 orang) terdiri daripada golongan berumur lingkungan 30 hingga 49 tahun.
Kerusi itu menjadi rebutan penyandangnya Datuk Ranum Mina daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan lima lagi calon iaitu Billy Sujang (Gabungan Parti Sarawak), Mereng Biris (PKR), Saini Kakong (Parti Bansa Dayak Sarawak Baru), Bayang Telon (Parti Sedar Rakyat Sarawak) dan Freedy Misid (Parti Bumi Kenyalang) pada PRN kali ini.
PRN pada 2016 menyaksikan kawasan itu dimenangi Ranum yang bertanding atas tiket Barisan Nasional dengan majoriti 2,082 undi.
— BERNAMA