Penduduk Pusa perlukan Hospital Daerah, IPD dan BBP

PUSA: Hospital Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) antara kemudahan utama yang diperlukan oleh masyarakat Pusa sebagai sebuah Daerah baharu.

Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Mohd. Zain memberitahu, tiga perkara tersebut antara tujuh kemudahan yang sangat diperlukan daripada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, mungkin ia sudah dimajukan lebih awal oleh pihak bertanggungjawab masing-masing, namun apa yang dibawa oleh Jawatankuasa Ketua-ketua Masyarakat dan Kaum Daerah Pusa kali ini sebagai mewakili suara penduduk yang sangat mengharapkan perhatian.

AWANG RAZIEE AWANG MOHD. ZAIN

“Daerah Pusa merupakan Daerah baharu dan sudah pasti banyak kemudahan yang diperlukan oleh warganya.

“Antaranya yang utama ialah Hospital Daerah, IPD dan BBP.

“Selain itu kami juga memohon bangunan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, kompleks sukan, menaik taraf jalan utama Kampung Pusa serta membina bangunan baharu SK Kalok,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ketua-ketua Masyarakat dan Kaum Daerah Pusa bercakap demikian ketika ditemui Suara Sarawak selepas program Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS) Siri 1 2019 Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) yang berlangsung di Dataran Tandang Sari, baru-baru ini.

Beliau katanya ingin menyerahkan sendiri surat permohonan tersebut kepada Setiausaha Persekutuan Sarawak Mohd. Shahabuddin Omar yang sepatutnya hadir.

“Nampaknya Shahabuddin tidak hadir, namun tidak mengapa. Cuma saya mewakili penduduk Daerah Pusa merayu pertimbangan yang sewajarnya bagi memastikan Daerah ini tidak ketinggalan,” ujarnya.

Diminta mengulas tentang penganjuran MCS, Raziee menyifatkan usaha yang bagus bagi memberi perkhidmatan yang dekat kepada rakyat.

“Ini satu kemudahan dan kami di Daerah ini berterima kasih kepada MOF dan Perbendaharaan Malaysia Sarawak yang berjaya membawa program MCS ke Pusa.

“Insha-Allah pada masa akan datang, kalau boleh digabungkan dengan agensi-agensi Kerajaan Negeri yang lain, rasanya lebih mendapat sambutan.

“Misalnya, di sini penduduk majoritinya aktif dalam sektor pertanian, bagaimana kalau dikumpulkan semua agensi negeri atau Persekutuan yang berkaitan untuk bersama-sama datang.

“Walau bagaimanapun, saya mengakui ini sudah cukup bagus dan mengharapkan masyarakat agar jangan hanya menonton, sebaliknya menggunakan peluang ini untuk mendapatkan perkhidmatan dan bertanya,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Ketua Kampung Hulu Pusa Berahim Abang Bakar, program MCS memudahkan urusan penduduk.

BERAHIM ABANG BAKAR

“Bagi saya, ini program yang bagus dan perkhidmatan yang ditawarkan juga banyak seperti cabut gigi percuma, ujian saringan kesihatan, penggantian kad pengenalan (termasuk MyKid), cabutan daftar kelahiran dan kematian, khidmat nasihat dari pelbagai agensi… jadi, macam-macam ada.

“Sebagai cadangan, saya berbesar hati supaya ia dapat diadakan lebih kerap dengan penglibatan lebih banyak agensi sama ada negeri mahupun Persekutuan.

“Saya rasa penduduk harus mengambil peluang dua hari ini untuk mendapatkan sebanyak mungkin perkhidmatan yang disediakan,” tambahnya.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Strategik Korporat dan Komunikasi MoF Abu Bakar Jambol dan hadir sama Pegawai Kewangan Perbendaharaan Malaysia Sarawak Mohd. Saiful Sungkih Abdullah, Pegawai Daerah Pusa Bujang Budin serta ketua-ketua jabatan, masyarakat dan kaum.

Suara Sarawak