Penduduk Rumah Francis Kiyai teruja dapat dewan masyarakat

SIBU: Kira-kira 800 orang penduduk di Rumah Francis Kiyai, Nanga Singat di sini bakal menikmati dewan masyarakat baharu yang dibina Kerajaan Sarawak di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN N.43 Daro.

ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, projek bernilai RM400 ribu itu bermula dalam bulan Julai dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 6 bulan.

Dengan terbinanya dewan tersebut nanti katanya, ia akan memberi kemudahan kepada kira – kira 800 orang penduduk yang merupakan penempatan rumah panjang terpanjang di bawah DUN N43 Daro iaitu sebanyak 78 pintu dan mempunyai sebuah sekolah rendah.

“Perlaksanaan projek ini merupakan salah satu lagi bukti kerajaan tidak mengabaikan keperluan penduduk luar bandar.

Malah kita sentiasa mengambil pelbagai pendekatan bagi menyediakan kemudahan terbaik untuk mereka,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pembinaan jalan untuk menghubungkan rumah panjang itu dengan jalan utama melalui jalan ladang terdekat sedang diusahakan.

Paling melegakan katanya, apabila projek bekalan elektrik yang amat diperlukan oleh penduduk di kawasan berkenaan juga sudah diluluskan dan sekarang dalam tempoh pelaksanaan.

“Projek ini dilaksanakan di bawah Skim Elektrik Luar Bandar Luar Negeri Sarawak (SARES), inisiatif Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan dilaksanakan SEB melalui peruntukan Kerajaan Sarawak untuk membekal elektrik 24 jam kepada penduduk di pedalaman terpencil.

“Sudah pasti, ia bakal mengakhiri penantian penduduk rumah panjang itu sejak sekian lama,” ujarnya.

Beliau turut memberi jaminan projek–projek rakyat di DUN Daro yang ditangguhkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diteruskan seperti biasa.

Sementara itu, satu lawatan tapak projek dilakukan oleh pegawai dari Pejabat Residen Bahagian Sibu, pegawai-pegawai teknikal JKR Sibu semalam.

Hadir sama, tuai rumah, petugas Pusat Khidmat DUN N43 Daro dan wakil penduduk kawasan tersebut.