Penduduk Rumah Gani gembira dapat rumah baharu

SARIKEI: Hasrat lebih 100 penduduk Rumah Gani untuk tinggal di rumah baharu akhirnya menjadi kenyataan apabila kediaman mereka sudah siap sepenuhnya.

Kesemua penduduk berpindah ke tapak itu selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran.

Hasil keprihatinan Kerajaan GPS yang menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.1juta bagi tujuan pembinaannya, penduduk kini tinggal di rumah baharu yang lebih selamat dan selesa.

Sehubungan itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, pembinaan semula rumah itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam usaha membela nasib rakyat.

Selain rumah terbabit katanya, kerajaan juga mengambil langkah proaktif melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Majlis berlangsung dalam suasana ceria dan meriah.

“Satu lagi berita gembira untuk rakyat di kawasan ini apabila Kerajaan GPS meluluskan peruntukan untuk membina jalan Kerubong sepanjang tujuh kilometer (km).

“Jalan ini akan menghubungi Kerubong Kerapa, Selalang, Kabong hingga ke Sarikei. Sudah pasti ia bukan sahaja menyingkatkan tempoh perjalanan tetapi memberi manfaat besar kepada seluruh penduduk di kawasan ini dalam tempoh jangka panjang,” katanya pada Majlis Perasmian Rumah Gani di Sare di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab.

Pada majlis yang sama, Len Talif turut menyampaikan bendera GPS kepada lebih 20 orang tuai rumah yang mewakili lebih 1,000 penduduk di kawasan Sare.

Kehadiran kedua-dua wakil rakyat itu disambut meriah sekaligus membuktikan sokongan mereka pada GPS masih utuh.

“Apa yang lebih menggembirakan mereka menyatakan kesetiaan selain terus menaruh keyakinan hanya GPS mampu membela nasib rakyat di kawasan ini.

“Bagi pihak kerajaan pula, saya ingin menegaskan usaha membela penduduk Sare tidak terhenti setakat ini. Malah, hasil usaha Kerajaan Sarawak kawasan ini sudah berubah wajah melalui penyediaan pelbagai prasarana kepada rakyat,” ujarnya yang juga ADUN N.41 Kuala Rajang.

Len Talif menyantuni seorang bayi yang baharu dilahirkan sebaik selesai program perasmian.