SARIKEI: Penduduk yang tinggal di kawasan rendah, diminta berjaga-jaga berikutan fenomena air pasang besar yang melanda daerah ini sejak beberapa hari lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, fenomena itu mengakibatkan limpahan air di kawasan daratan yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan berhampiran sungai.
Katanya, penduduk harus berhati-hati dengan mengelak daripada melakukan aktiviti yang berisiko dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Pantau kegiatan anak- anak. Kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku dan pastikan kita mendapat info tepat mengenai banjir,” katanya ketika dihubungi.
Beliau memberitahu, pasukannya sentiasa melakukan pemantuan di beberapa lokaliti yang dikenalpasti berisiko terdedah dengan bencana alam itu.