Penduduk Sarikei patuh PKP

SARIKEI: Bilangan positif Covid-19 di bahagian ini kekal enam dan tidak ada pertambahan sejak hari pertama kes itu dilaporkan.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, setakat ini penularan wabak itu masih terkawal hasil daripada kerjasama baik semua pihak.

Daripada jumlah itu katanya, empat daripada mereka masih menjalani rawatan di Hospital Sibu, manakala dua lagi sudah dilaporkan pulih. “Kita mendoakan semoga keadaan akan kembali seperti biasa,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat di Pejabat Residen Bahagian Sarikei baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei memberitahu, terdapat lapan kes individu di bawah siasatan (PUI) dicatat dengan semua kes berkenaan dirawat di Hospital Sibu.

“Ini bermakna jumlah kes masih kekal dan tidak ada pertambahan daripada jumlah yang dilaporkan sebelum ini,” ujarnya.

Mengenai jumlah tangkapan ingkar arahan PKP pula, Adun Kuala Rajang itu menjelaskan, bilangan yang dilaporkan juga menurun sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu menyaksikan 66 orang dikompaun dan 20 ditangkap setakat ini.

“Ini membuktikan keberkesanan pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab mereka sepanjang PKP. Saya berharap penduduk Sarikei terus mematuhi arahan yang dikeluarkan bagi melindungi diri sekali gus membantu kerajaan membendung penularan wabak Covid-19,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 65,000 topeng muka sudah diagihkan kepada 28 agensi kerajaan di bahagian ini. “Kita juga akan mengagihkan sebanyak empat topeng kepada Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan hijau dan kuning, manakala enam keping lagi di kawasan merah,” jelasnya.