Penduduk Sebauh bakal nikmati bekalan air bersih lebih baik hujung tahun ini

BINTULU: Masalah tekanan air rendah yang sering membelenggu penduduk Pekan Sebauh dijangka akan berakhir penghujung tahun ini.

Pada masa ini, pihak Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) sedang menjalankan kerja-kerja menaiktaraf tangki simpanan air di Simpang Sebauh, di sini.

Perkara ini dinyatakan Menteri Utiliti Datuk Sri Dr. Stephen Rundi Utom semasa merasmikan JKKK Pekan Sebauh, petang tadi.

Selain itu, beliau turut memberitahu kementeriannya juga akan mendirikan menara talian telekomunikasi di kawasan Sebungan berdekatan rumah panjang, Medan dan Mathew Sultan, Sarau.

Ia, katanya, bagi mengatasi masalah kelajuan talian di kawasan berkenaan sambil menambah perkara itu sudah dipersetujui oleh kerajaan Negeri.

Rundi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena turut memberitahu akan memanjangkan permohonan kepada pihak Jabatan Saliran dan Pengairan dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi mencari jalan penyelesaian atau alternatif bagi perkara berkaitan sistem perparitan di kawasan Kemena, khasnya Sebauh.

Ini, kerana, sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung jumlah air sekiranya hujan yang sering mengakibatkan berlakunya banjir.

Beliau berharap akan mendapat maklum balas positif daripada pihak berkaitan dalam usaha mengurangkan kejadian banjir.

Suara Sarawak