Penduduk setinggan Sungai Sebiew beri kerjasama berpindah untuk memudahkan pelaksanaan pendalaman dan pelebaran Sungai Sebiew

BINTULU: Penduduk setinggan di sepanjang Sungai Sebiew dinasihat agar memberi kerjasama kepada pihak kerajaan untuk berpindah bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja pendalaman dan pelebaran sungai berkenaan.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing berkata pelaksanaan itu bagi menangani masalah banjir kilat yang berlaku baru-baru ini yang mengakibatkan beberapa kawasan di Daerah Bintulu terjejas teruk.

Beliau berkata satu dialog bersama penduduk terlibat membabitkan agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Tanah dan Survei, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Jabatan Saliran dan Pengairan (DID) termasuk ketua masyarakat setempat dalam masa terdekat.

“Semasa dialog itu kelak, Pegawai Daerah Bintulu akan memaklum tempoh waktu yang diperlukan oleh mereka untuk berpindah dan mencari kediaman,” ujarnya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat khas pasca banjir kilat di bilik mesyuarat Pejabat Residen di sini.

Justeru, beliau berharap penduduk terlibat memberi kerjasama demi kesejahteraan warga setempat sambil menegaskan pihak kerajaan tidak teragak-agak untuk menggunakan penguatkuasaan jika mereka enggan memberi kerjasama.

Pada masa yang sama, Tiong turut mencadangkan supaya penyambungan utiliti haram di penempatan setinggan terbabit dipotong sekiranya mereka tidak berpindah dalam tempoh yang diberikan.

Difahamkan, terdapat ebanyak 371 penempatan setinggan di sepanjang Sungai Sebiew pada masa ini.

Dalam isu berkaitan, Ahli Parlimen Bintulu itu turut memberitahu pihaknya sedang cuba mendapatkan survei tanah untuk membantu dan mencari penyelesaian dengan cuba menyediakan satu lot di kawasan Kampung Jepak untuk mereka.

“Tapi, buat masa ini, kami masih berbincang dengan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) berkenaan proses pemindahan mereka,” katanya lagi.

Mesyuarat hampir empat jam yang dipengerusikan Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim itu antara lain membincangkan isu serta resolusi agensi berkaitan dalam menangani banjir di Bintulu.

Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid, Pengurus Besar BDA Muhamad Yakup Kari, hadir sama.