SARIKEI: Pelan pembangunan jangka panjang sedang dirancang bagi mewujudkan penempatan yang lebih bersistematik Kampung Sarikei dengan menjadikan projek pembangunan perumahan Darul Hana sebagai model.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, usaha itu juga bagi memastikan kawasan berkenaan tidak lenyap ditelan arus pembangunan.
Perancangan itu katanya, juga amat penting demi manfaat penduduk di kawasan terbabit dalam jangka panjang. “Jika kita tidak mempunyai perancangan untuk membangunkannya sekarang, kita khuatir kawasan ini akan hilang suatu hari nanti. Khazanah sedia ada ini perlu dipertahankan.
“Justeru, kita tidak akan meluluskan mana-mana pembangunan yang tidak melibatkan pemilik tanah. “Langkah itu dilakukan kerana kita sedar kawasan ini mempunyai banyak potensi untuk dibangunkan.
“Sehubungan itu, saya juga sudah mengutarakan perkara ini kepada Ketua Menteri dalam beberapa siri lawatan beliau ke Sarikei sebelum ini,” katanya selepas menyertai Program Gotong-Royong Semarak Kemerdekaan anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) Bahagian Sarikei di Surau Darul Huda, di sini, pada Ahad.
Beliau berkata, perancangan itu perlu dilakukan dengan penuh teliti dengan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan selain memerlukan tempoh masa yang panjang.
Selain penempatan yang lebih kondusif dan tersusun katanya, kerajaan juga merancang pembinaan tebingan sungai sepanjang dua kilometer dari Terminal Dua hingga Jambatan Sungai Sarikei.
“Saya meminta Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita) dan perumahan mengemukakan pelan dengan perancangan di Kampung Sarikei. Ini merupakan pendekatan kerajaan GPS bagi membolehkan penduduk kampung berubah ke arah yang lebih moden.
“Semoga yang kita rancang untuk pembangunan kawasan Sarikei berjalan lancar dan sempurna. Justeru, saya amat mengharapkan sokongan semua pihak, terutama terhadap perjuangan parti GPS yang sememangnya mempunyai perancangan jangka panjang yang sangat bermanfaat untuk rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Program gotong-royong itu bertujuan mewujudkan jalinan kerjasama erat dalam kalangan masyarakat di samping memastikan jemaah dapat beribadat dengan lebih selesa. Antara yang diberi tumpuan ialah mengecat semula dinding surau, membersih ruang solat, tempat mengambil wuduk, menyusun semula tempat bacaan dalam keadaan kemas dan lainlain lagi. Temenggong Awangku Ibrahim Hosain, Pemanca Awang Kenit dan Penghulu Bidin Bong turut hadir.