
SIBU: Susulan penemuan objek menyerupai logam di kawasan kebun persendirian di Batu 19 Sepudu, Pasai Siong pada 3 Disember lalu, polis telah menghantar objek itu ke Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, ia bertujuan untuk menganalisa sekiranya objek tersebut serpihan roket Long March 5b milik China.
“Objek ini seterusnya dihantar ke Jabatan Kimia, Petaling Jaya menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Lapangan Terbang Sibu (LTS) pada jam 9 pagi,” katanya menerusi satu kenyataan pada malam tadi (Sabtu).
Zulkipli menjelaskan bahawa objek itu berukuran panjang 24 kaki, 1.5 kaki lebar dan setengah inci tebal menyerupai logam berwarna kelabu.
Mengulas lanjut mengenai penemuan objek terbabit, beliau menyatakan pada 3 Disember 2022 lebih kurang jam 9 pagi, polis telah menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan penemuan objek tersebut.
Susulan itu, pihak polis bersama-sama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah serta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia bergegas ke lokasi penemuan.
“Pemeriksaan lanjut oleh pihak Atom Malaysia mengesahkan objek tersebut tidak mengeluarkan sebarang radiasi serta tiada unsur bahan radioaktif dikesan secara dedahan luaran mahupun kontaminasi pada objek tersebut,” katanya.
Tambahnya, kes masih di dalam siasatan setakat ini.