Trending

Penemuan orang utan di Gunung Lesong

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

Penyelidikan hidupan liar dengan perangkap kamera yang dipasang oleh WWF-Malaysia merakam gambar orang utan di hutan Gunung Lesong di bahagian Sri Aman, baru-baru ini.

Peristiwa bersejarah itu sekali gus menekankan keperluan untuk melindungi hutan di sekitar Taman Negara Gunung Lesong.

Gambar tersebut membawa berita gembira kepada Sarawak, terutama pihak yang terlibat dalam usaha memulihara dan mengurus kawasan tersebut secara lestari sebagai kompleks ekopelancongan.

Kedatangannya pada waktu yang tepat, iaitu menjelang sambutan Hari Orang Utan Sedunia yang jatuh pada 19 Ogos setiap tahun. 

Pengkaji hidupan liar dari WWF-Malaysia, Lukmann Haqeem Alen, berkata, kamera tersebut dipasang untuk mendapatkan maklumat hidupan liar di kawasan tersebut dan terakam orang utan atau Pongo pygmaeus pygmaeus.

“Ini kali pertama gambar orang utan berjaya direkodkan menggunakan perangkap kamera di Gunung Lesong.

“Namun, penduduk tempatan juga melaporkan bahawa mereka pernah melihat orang utan di kawasan ini, terutama semasa musim buah.

“Pada Disember 2022, seorang penduduk berjaya merakam video yang dipercayai seekor orang utan. 

“Jadi gambar daripada perangkap kamera ini mengesahkan perkara yang dinyatakan oleh penduduk kampung,” katanya.

Justeru, pihaknya yakin terdapat tiga sosok orang utan di Gunung Lesong berdasarkan saiz badan dan ciri muka yang dilihat dalam gambar.

Salah satu gambar menunjukkan seekor orang utan betina bersama-sama anaknya, yang memberi petanda positif bahawa populasi orang utan di Gunung Lesong masih membiak.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru