Penerbangan ihsan TUDM ringankan beban warga emas

KUCHING: Seorang lelaki warga emas yang menghidapi penyakit jantung daripada Institut Jantung Negara Kuala Lumpur berjaya dipindahkan ke Pusat Jantung Sarawak menerusi penerbangan ihsan oleh Pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), hari ini.

TUDM dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan pesakit Wan Ujang@ Wan Ali, 71, dipindahkan ke Pusat Jantung Sarawak bagi memudahkan pesakit mendapat penjagaan daripada keluarga.

Jelas kenyataan itu, penerbangan menerusi pesawat A400M diterbangkan oleh Mej Khairul Ikhmal Ishak dan pembantu juruterbang, Kapt Mohammad Ridhwan Yahaya bersama tiga anak kapal.

“Sebuah pesawat A400M dari No22 Skuadron telah bertolak dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 7.32 pagi.

“Penerbangan yang memakan masa kira-kira satu jam 30 minit itu disahkan telah mendarat selamat dengan selamat di Pangkalan Udara Kuching pada jam 9 pagi,” jelas kenyataan itu, hari ini.

Tambahnya, tanggungjawab sosial yang dilaksanakan TUDM khusus bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.