KUCHING: Penerbangan terus Kuching–Pontianak kembali beroperasi – menandakan pemulihan hubungan udara penting antara Sarawak dan Kalimantan Barat yang tergendala sejak pandemik.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, pemulihan laluan ini sebagai langkah penting dalam mengukuhkan semula hubungan serantau antara kedua-dua wilayah, khususnya dari segi mobiliti rakyat, kerjasama ekonomi dan pelancongan.

“Penerbangan ini bukan sahaja mengembalikan kemudahan perjalanan rentas sempadan, malah mencerminkan kejayaan usaha diplomasi negeri dalam merintis semula jaringan udara yang terganggu sejak Covid-19.
Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pengangkutan sentiasa berusaha memulihkan hubungan rentas sempadan dengan kerajaan Indonesia – termasuk melalui lawatan kerja rasmi ke Pontianak dan Singkawang pada September tahun lalu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, khususnya Konsul Jeneral Raden Sigit Witjaksono atas peranan besar dalam menjayakan rundingan antara kedua-dua pihak.
Pengoperasian semula laluan udara ini lebih daripada sekadar kemudahan penerbangan, malah ia satu isyarat jelas ke arah kerjasama lebih erat dalam bidang ekonomi, sosial dan pelancongan.
Beliau percaya laluan ini akan merancakkan semula aktiviti perdagangan, pelancongan serta pergerakan komuniti yang tinggal di kawasan sempadan.
Kehadiran pelawat dari Kalimantan Barat pula akan memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri, termasuk perkhidmatan kesihatan dan produk budaya yang menjadi tarikan utama di Sarawak.
Mengulas potensi masa depan, Kim Shin berkata terdapat sekurang-kurangnya enam bandar di Kalimantan yang mempunyai lapangan terbang, dan Sarawak bersedia meneroka laluan baharu ke wilayah tersebut.
“Pemindahan pusat pentadbiran Indonesia ke Nusantara membuka ruang kerjasama baharu yang boleh dimanfaatkan kedua-dua pihak dalam jangka masa panjang,” ujarnya.
Tambahnya, ini adalah peluang strategik bagi memperkukuh integrasi ekonomi dan pengangkutan serantau. Sarawak komited untuk memainkan peranan aktif dalam pembangunan bersama dengan Kalimantan.
Sementara itu, wakil AirAsia ketika dihubungi mengesahkan bahawa penerbangan terus Kuching–Pontianak kini telah dibuka untuk tempahan dan akan memulakan operasi pada 12 September ini.





