Pengagihan di Kuala Rajang selesai

SARIKEI: Pengagihan bantuan fasa satu dan dua bagi kawasan Dun Kuala Rajang selesai sepenuhnya bagi zon Sarikei dan Tanjung Manis, kelmarin.

Ia diagihkan mengikut senarai yang telah diberikan oleh ketua masyarakat dan ketua kaum di kawasan masing-masing menerusi Pejabat Residen dan Pejabat Daerah.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, penghantaran kepada 5,205 Ketua Isi Rumah (KIR) melebihi bilangan asal iaitu seramai 4,570 orang.

“Agihan bermula sejak minggu lalu dan berjaya dilaksanakan sepenuhnya oleh petugas sukarelawan. “Saya ingin mengucapkan terima kasih atas komitmen dan kerjasama baik mereka dalam menjayakan tugasan murni ini,” katanya kepada media.

Beliau memberitahu, setiap agihan bungkusan makanan itu nilainya tidak melebihi RM50 bagi memastikan bantuan dapat diagihkan kepada lebih ramai penerima di kawasan Dun Kuala Rajang yang memerlukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bantuan yang disalurkan itu katanya, bertujuan meringankan beban mereka yang terjejas sepanjang PKP bermula 18 Mac lalu. “Kami memastikan semua pihak tidak terlepas pandang menerima agihan bantuan ini.

“Justeru, mereka yang tercicir atau mungkin belum menerimanya boleh memaklumkan kepada ketua masyarakat dan ketua kaum di kawasan masing-masing,” katanya.

Len Talif yang juga Adun Kuala Rajang berkata, fasa ketiga bantuan yang disalurkan menerusi Peruntukan Adun Kuala Rajang dan Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab akan diteruskan pada Ramadan akan datang.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk agar mematuhi arahan PKP bagi membantu kerajaan mengekang penularan wabak Covid 19.

Suara Sarawak