KUCHING: Pengagihan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 peringkat kedua dijadualkan dilaksanakan pada 15 Mei 2026 dengan peruntukan sebanyak RM179.6 juta.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Dr Abdullah Zaidel berkata fasa ketiga pengagihan pula dijadualkan pada 10 November 2026 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM180.6 juta.
“Bantuan SKAS akan disalurkan kepada penerima dalam tiga peringkat sepanjang tahun 2026 dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM539.8 juta.
“Fasa pertama pengagihan SKAS akan berlangsung pada 10 Mac 2026 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM179.6 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, secara keseluruhan seramai 857,814 penerima dikenal pasti layak menerima bantuan berkenaan berdasarkan data penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026.
Bantuan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri bagi membantu golongan yang layak memenuhi keperluan asas harian mereka.
“Pelaksanaan SKAS juga melengkapi usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak.
“Melalui program ini, Kerajaan Sarawak berharap dapat terus menyokong isi rumah dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup serta memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar memerlukan,” katanya.





