Pengalaman ibu, dua anak positif Covid-19: Kami masih trauma

KUCHING: Kami masih trauma dan perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini diraikan dengan ala kadar, kata Zainon Zaini, 33, bekas pesakit Covid-19 ketika dihubungi oleh Suara Sarawak semalam.

Pembuat kuih tradisional dari Kampung Rampangi Skim itu dikuarantin selama sebulan di Hospital Umum Sarawak (HUS) bersama-sama dua anaknya berusia tujuh tahun dan tiga tahun yang turut positif Covid-19.

“Kami bertiga didapati positif Covid-19 pada 31 Mac lalu dan diberi rawatan sewajarnya.

“Sebelum itu, pada 29 Mac saya membawa anak kedua ke HUS kerana dia masukkan manik ke dalam hidung dan berjaya dikeluarkan oleh doktor tetapi disahkan terdapat jangkitan kuman dalam paru-parunya,” katanya.

Menurut Zainon, bertemu dengan doktor di HUS menjadi titik ngeri dalam hidupnya setelah disedari ketiga-tiganya dijangkiti Covid-19.

Lebih memilukan hati ibu muda itu apabila punca jangkitan sehingga kini masih dalam siasatan KKM.

“Selepas menerima keputusan positif Covid-19, dunia seolah-olah gelap.

Saya menangis dan dua hari tidak dapat tidur. “Ambulans datang ke rumah untuk mengambil kami bertiga dan dibawa ke HUS pada hari yang sama. Itu lebih menghiris hati saya,” ujar ibu tunggal ini.

Beliau memberitahu, pada 4 April, mereka bertiga keluar dari HUS dan menjalani tempoh kuarantin bersama sehingga 21 April di Kompleks Belia dan Sukan (KBS).

“Saya hanya mengalami gejala sakit tekak dan batuk namun tidak demam mulai 17 Mac.

“Gejala yang sama dialami oleh anak sulung pada 20 Mac, sehari kemudian anak bongsu turut sakit tekak dan batuk tetapi tidak demam,” jelasnya.

Zainon menambah, pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang tempoh mendapatkan rawatan ialah melakukan ujian calitan sebanyak tiga kali bersama anak-anak selain pemeriksaan rutin.

Namun apabila disahkan sembuh daripada Covid-19 bersama-sama dua anaknya pada 5 Mei lalu dan tamat tempoh kuarantin di rumah, ungkapan syukur meniti di bibirnya setiap hari.

Mengulas mengenai penerimaan masyarakat terhadap mereka bertiga, Zainon berkata, ada yang berasa takut berbual dengan mereka.

“Doktor menasihati saya supaya jangan terlalu risau kerana virus Covid-19 tiada lagi di dalam hidung dan mulut kami bertiga.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada doktor dan jururawat yang merawat kami bertiga kerana sentiasa mengambil berat,” ujarnya.

Beliau juga bersyukur kerana kedua-dua anaknya seolah-olah memahami tempoh kuarantin dan tidak terlalu meragam.

“Terima kasih juga kepada keluarga yang sentiasa menyokong, bapa, rakan arwah emak dan kawan-kawan kerana sentiasa bertanyakan khabar dan mendoakan saya dan anak anak kembali sihat,” katanya.