Trending

Pengalaman sebagai wartawan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

PERCAYALAH kenapa kita berada di sini? Kerana Tuhan telah memilih kita, antara titipan wartawan veteran, Syahril A.Kadir kepada wartawan dan editor Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune dalam bengkel penulisan berita di Kuching, beberapa bulan lalu. Syahril pada ketika itu dijemput ke Kuching untuk menyampaikan tip, pengalaman dan mencurahkan ilmunya kepada wartawan muda dalam bengkel tersebut.

Antara perkongsian yang disampaikan adalah kisahnya ketika menghadiri temu duga bersama sebuah akhbar nasional yang ketika itu turut dihadiri oleh wartawan yang lebih berpengelaman daripada dirinya. Pada usia yang muda ketika itu, beliau mengatakan dirinya masih mentah dalam dunia kewartawanan selain perlu bersaing dengan wartawan yang lain untuk mendapat tempat di Utusan Malaysia sebagai wartawan kadet. Kisah beliau mengingatkan saya akan detik kali pertama menjejak kaki ke markas sementara Suara Sarawak, berhadapan SMK Petra Jaya empat tahun lepas untuk temu duga.

Kerjaya wartawan bukanlah pilihan saya kerana saya berangan-angan untuk bekerja di sebuah syarikat perunding atau mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan dengan pembangunan. Atas saranan bapa, saya akur dan akhirnya menghadiri temu duga tersebut tanpa sebarang pengetahuan mahupun membuat apa-apa persiapan. Mana tidaknya, saya sendiri tiada pengetahuan dalam dunia kewartawan apatah lagi ragu- ragu dengan penulisan diri sendiri.

Saya hadir ke pejabat Suara Sarawak, 1 Mac 2019 yang baharu sahaja melancarkan akhbarnya ke seluruh negeri. Ketika itu, saya hadir dengan penampilan yang kurang sopan, berbaju pagoda putih dan mengenakan selipar untuk hadir temu duga. Bagaimanapun, dua penemu duga ketika itu, Awang Rosli dan Christina Lian menerima kehadiran saya dengan baik, sekali gus menawarkan peluang untuk menjadi wartawan kadet. Saya melapor diri pada 4 April di pejabat Suara Sarawak yang baru berpindah ke Metro City, Matang dan ditugaskan untuk mengolah kenyataan media untuk dijadikan berita. Tugasan yang diberikan tidak begitu sukar tetapi dalam masa yang sama tidak boleh diambil ringan kerana kita tidak dapat mempelajari sesuatu jika terlalu ego dan meninggi diri.

Kurang seminggu kemudian, saya diarahkan untuk menghadiri sidang media berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2009 yang topiknya agak berat untuk dihadam apatah lagi hendak ditulis. Bagaimanapun, dengan bimbingan dan tunjuk ajar, input dalam sidang media itu diolah menjadi berita yang dapat dibaca dan difahami oleh pembaca luar sana. Sebulan kemudian, saya ditawarkan jawatan wartawan oleh syarikat, yang bagi saya ketika itu terlalu pantas kerana tempoh percubaan diberikan adalah tiga bulan.

Saya berasa sangsi dengan keupayaan menulis berita pada ketika itu, namun, menerima seadanya kerana niat untuk mempelajari perkara baharu setiap hari. Memasuki empat tahun berkarya di Suara Sarawak, sudah semestinya pengalaman mengembara ke luar bandar dan kampung-kampung antara pengalaman yang cukup bermakna bagi diri. Kerana Suara Sarawak, saya diberi peluang untuk pergi ke Belaga, menelusuri jalan balak menggunakan kereta pacuan empat roda sambil menahan sakit punggung dan belakang kerana duduk di kerusi belakang.

Malah turut berpeluang bersemuka dan berdamping dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan dan berbeza latar belakang. Dari situ, kita dapat menyelami isi hati mereka yang kemudian diterjemahkan kepada satu berita yang menarik untuk bacaan ramai. Pengalaman mewah itu tidak dapat ditukarkan kepada wang ringgit, emas mahupun mata wang bitcoin sekalipun, kerana ia memberikan perspektif yang mendalam selain memahami isi hati masyarakat yang ditemui. Tidak pasti hala tuju kerjaya selepas ini, namun, saya bersyukur dengan pengalaman dan ilmu sepanjang empat tahun digelar wartawan meskipun ada pahit manisnya yang tersendiri.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Misi capai sifar karbon

SARAWAK mengutamakan pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar,

Buli haiwan sangat kejam

SEBELUM ini, ada cadangan penubuhan agensi Polis Haiwan bagi menangani kes berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru