ARTIKEL

Profesor Charlie Beckett dari London School of Economics and Political Science menyampaikan ceramah mengenai AI pada SMeC 2024 sempena HAWANA 2024, hari ini.

Pengamal media diingatkan bergerak pantas seiring kepesatan kemajuan AI, atau tanggung risiko

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Semua pertubuhan dan pengamal media mesti mula bergerak pantas seiring dengan kepesatan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (Al), atau menanggung risiko ‘tersungkur’ angkara pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pensyarah London School of Economics and Political Science United Kingdom, Prof. Charlie Beckett, berkata Al sudah wujud sejak sekian lama, dan sudah ada ‘tangan-tangan jahat’ yang mengendalikan teknologi itu bagi tujuan haram seperti menipu atau mencipta kandungan palsu.

“Mereka (yang jahat) sudah menggunakan teknologi ini, jadi kita tidak mempunyai pilihan.

“Jika anda fikir anda boleh melakukan kerja kewartawanan yang baik atau mencipta maklumat yang boleh dipercayai, anda mesti turut masuk bersaing dengan mereka.

“Jadi kita perlu menggunakan teknologi ini secara bertanggungjawab, dan kita perlu melakukannya sekarang.

“Tangan-tangan jahat sentiasa mencari cara baharu untuk menggunakan teknologi dengan cara jenayah atau cara buruk, yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar sesi syarahannya pada Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 dengan tajuk ‘AI untuk Kebaikan: Bagaimana AI Boleh Membantu Kewartawanan dan Media, dan Contoh Kehidupan Sebenar Aplikasi AI dalam Kewartawanan’ di sini, hari ini.

Persidangan dua hari dengan tema ‘Evolusi Media dalam Era Digital’ itu bermula semalam melibatkan penyertaan kira-kira 600 peserta tempatan dan antarabangsa.

SMeC 2024 diadakan sempena Hari Wartawan Negara (HAWANA) 2024 yang berlangsung selama tiga hari mulai Sabtu lepas, dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beckett berkata Al adalah teknologi yang dicipta dan digunakan oleh manusia, jadi manusia sendiri boleh memutuskan sama ada untuk menjadi wartawan bertanggungjawab menggunakan teknologi bagi mewujudkan informasi yang mengujakan dan boleh diakses, atau orang ramai menggunakannya bagi tujuan menyebar maklumat palsu.

“Perkara penting adalah untuk memikirkan tentang tanggungjawab anda, bukan hanya mengenai teknologi.

“AI ini boleh diakses oleh semua, sesiapa sahaja boleh mula menggunakan teknologi ini dengan pantas, dan ini sendiri adalah berbahaya.

“Kewartawanan menghasilkan tajuk-tajuk penting seperti pandemik atau krisis nasional, mungkin yang berkaitan dengan kewangan atau bursa saham.

“Itu maklumat penting, jadi saya rasa ia adalah penting bagi wartawan untuk menggunakan teknologi ini dengan bertanggungjawab,” katanya.

Kira-kira 1,000 tetamu, yang terdiri daripada pengamal media dari Malaysia dan 12 negara luar, berhimpun di Kuching sejak Sabtu sempena HAWANA 2024, yang diadakan buat pertama kali di Bumi Kenyalang.

Mereka merupakan wartawan, wakil organisasi dan kelab-kelab media dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait.

Acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Sarawak, dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) merupakan agensi pelaksana. – BERNAMA

BERITA LAIN

Perdana Menteri China akan lawat Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri China Li Qiang akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dari Selasa hingga 20 Jun. Ini merupakan lawatan pertamanya ke

BERITA TERBARU

Perdana Menteri China akan lawat Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri China Li Qiang akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dari Selasa hingga 20 Jun. Ini merupakan lawatan pertamanya ke