ARTIKEL

Pengamal media main peranan besar dalam proses membina negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengamal media memainkan peranan besar dalam proses membina negara, terutamanya dalam menyebarkan dasar, inisiatif dan program kerajaan.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menzahirkan penghargaan yang tinggi kepada para pengamal media atas peranan besar mereka dalam proses membina negara.

Menurutnya, wartawan dan pengamal media ini adalah wira dan wirawati tidak didendang yang membantu kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Fadillah menegaskan bahawa integriti dalam kewartawanan adalah penting untuk memastikan maklumat yang dipaparkan adalah sahih, bermanfaat, serta bertanggungjawab, bukan sekadar untuk menarik perhatian semata-mata.

“Memang diakui terdapat cabaran yang dihadapi oleh wartawan dan pengamal media dalam era digital ini, di mana segala-galanya dapat diakses dengan mudah di hujung jari.

“Namun, saya percaya bahawa mereka mampu mendepani apa jua cabaran yang mendatang dan memastikan industri media di negara ini tetap kekal relevan dan menjadi pilihan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebooknya hari ini sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024.

Fadillah menekankan bahawa tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ yang dipilih untuk tahun ini harus dijadikan kayu ukur dan peringatan bersama kepada wartawan dan pengamal media mengenai kepentingan memelihara etika dalam laporan dan penyampaian.

“Saya mendoakan semoga setiap insan yang bergelar wartawan dan pengamal media terus cekal dan tabah, serta sentiasa berpegang teguh kepada etika kewartawanan dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

“Saya berharap agar tugas yang digalas para wartawan juga mendapat keberkatan,” ujarnya.

Hari Wartawan Nasional (HAWANA) disambut pada 29 Mei setiap tahun untuk mengiktiraf dedikasi dan pengorbanan pengamal media di Malaysia.

BERITA LAIN

280 individu sertai Larian Amal Rakyat 2.0

KUCHING: Seramai 280 individu telah menyertai program Larian Amal Rakyat 2.0 yang berlangsung semalam. Program larian tersebut anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah

BERITA TERBARU