Pengamal media santuni lima keluarga

KUCHING: Lima individu yang hidup dalam serba kekurangan dan keperitan di sekitar bandar raya ini dikunjungi oleh pengamal media dari Awani Borneo, Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune sempena Program Santun Kasih.

Kisah perit dan cabaran hidup yang dihadapi lima individu ini pernah diterbitkan di Awani Borneo. Mereka ialah Faishul Hassan, Karmira Benny, Ngu Tek Ngik, Norlela Bujang dan pasangan suami isteri, Rombli Jusni dan Pauziah Razak. Ketiga-tiga agensi media ini berkesempatan untuk menyampaikan buah tangan berbentuk biskut raya, minuman bergas dan duit raya untuk menceriakan mereka.

Pengurus Tanjung Selatan Resources, Rudi Affendi Khalik berkata, kisah keperitan dan cabaran hidup kelima-lima individu dan keluarga ini pernah dipaparkan oleh Awani Borneo.

Tambahnya, sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma, buah tangan yang disumbangkan kepada keluarga berkenaan diharapkan membawa keceriaan kepada mereka. “Kita berterima kasih dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Awani Borneo, Borneo Channel dan Suara Sarawak yang berganding bahu untuk menjayakan program ini.

“Ini merupakan satu langkah pertama untuk mengadakan program seperti ini dan ia akan terus diadakan pada masa depan,” katanya selepas menyantuni keluarga Rombli Jusni di Kampung Rampangi di sini pada Rabu.

Tahun lalu, kisah Rombli Jusni dan isterinya Pauziah Razak yang mengutip sayur midin dan paku pakis di sekitar Matang pernah disiarkan di Astro Awani Sarawak. Kedua-dua pasangan suami isteri serta anak mereka mendiami rumah yang usang di sebelah Surau Taman Won.

Pauziah ketika dikunjungi menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih selepas berpindah ke kediaman baharu di sini. Kata Pauziah, rumah baharu itu mempunyai bekalan air dan elektrik berbanding kediaman dahulu.

“Saya bersyukur kerana kami dapat mendiami rumah sebegini berbanding rumah terdahulu yang agak terumbang ambing dan terdapat kebocoran sana sini. “Ini sudah mencukupi untuk kami anak beranak yang duduk di sini,” kata Pauziah.

Suara Sarawak