Penganggur dicekup miliki dadah syabu

BINTULU: Seorang penganggur  dicekup polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata lelaki tempatan berumur 34 tahun itu  ditahan anggota  Pasukan Polis Marin(PPM) Wilayah 5 pada jam 8 malam tadi di pengkalan feri Taman Sri Dagang, Jalan Masjid, semasa melakukan rondaan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas badan saspek, polis menjumpai sembilan  keratan tiub straw lutsinar kehijauan dan satu keratan tiub straw lutsinar kekuningan berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine atau syabu seberat 5.2 gram dengan  nilai  pasaran RM500.

Saspek, katanya lagi, tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan,  saspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan tidak melebihi sembilan kali.