Penganggur dicekup miliki syabu di Bintulu

BINTULU: Seorang penganggur dicekup kerana memiliki dadah jenis methamphetime atau syabu dalam serbuan di tepi sebuah premis di Jalan Masjid, jam 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata penganggur warga asing berumur 23 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, saspek ditangkap sepasukan polis dari Balai Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu diketuai Inspektor Nicholas Golibin setelah melihat saspek berkelakuan mencurigakan di lokasi tersebut.

Pemeriksaan ke atas beg duit saspek, katanya, membawa kepada penemuan 10 keratan tiub straw lutsinar berwarna kemerahan berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine(syabu) dengan berat kasar 5.1 gram dengan anggaran nilai pasaran tempatan berjumlah RM800.

Manakala, hasil ujian saringan air kencing ke atas saspek pula, mendapati sabjek negatif dadah sambil menambah siasatan awal polis mendapati saspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Menurut Zulkipli lagi, selain disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, saspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 ekoran tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada tiga sebatan.

Manakala, bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dari tiga bulan dan tidak melebihi dua tahun dan sebat tidak kurang dari tiga kali sebatan.