
KUCHING: Seorang penganggur didenda RM5,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri telefon pintar jenama iPhone 11.
Tertuduh, 22, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencuri telefon pintar itu milik seorang lelaki berusia 26 tahun di Kampung Semariang Batu, di sini, kira-kira jam 3.04 petang, 4 Julai lalu.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, pengadu telah berjumpa dengan tertuduh untuk menghantar sebuah telefon pintar yang hendak dibeli daripada pemilik telefon berkenaan.
Semasa penyerahan, tertuduh menyatakan hendak menunjukkan kepada ibunya kepada pengadu sebelum bertindak melarikan diri.
Tertuduh telah melarikan diri tanpa membuat bayaran tunai sebanyak RM1,960 kepada pengadu.
Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut, yang seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 14 Julai lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.