KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM12,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Thian Nam Fatt, 39, dari Siburan mengaku bersalah sebaik sahaja empat pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sandy Yvette Freddy.
Berdasarkan keempat-empat pertuduhan, dia didakwa memasukan dadah terlarang jenis Amphetamine dan Methampetamine.
Dia melakukan kesalahan itu pada 7 Julai 2014, 3 Februari 2015, 2 Ogos 2019 dan 24 Oktober 2022 di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Padawan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau dua tahun penjara dan pengawasan serta-merta untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun.
Sandy menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
Menurut fakta kes, bagi keempat-empat kes, dia ditangkap selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah selepas ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati positif dadah.
Kemudian, sampel urin tertuduh dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis dan laporan menunjukan tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Merylene Lindan Andrew Mang mankala tertuduh tidak diwakili peguam.