KUCHING: Seorang penganggur lelaki terpaksa akur menyambut raya pertama di sebalik tirai besi apabila dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Ia susulan tindakan mencederakan abang kandungnya hingga parah dengan menetak mangsa menggunakan sebilah parang dalam satu kejadian mengamuk, Sabtu lepas (15 April).
Izzat Saddam Sulaiman, 31, dari Kampung Tabuan Hilir, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Maris Agan.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa sengaja mendatangkan cedera parah terhadap mangsa berusia 52 tahun menggunakan senjata yang boleh membunuh iaitu sebilah parang di kediaman mereka di Kampung Tabuan Hilir, kira-kira jam 12.30 petang, 15 April lepas.
Oleh itu, Izat didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun yang sama, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.
Maris menetapkan tertuduh mula menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.
Sebelum dijatuhi hukuman, Izzat yang tidak diwakili peguam memohon agar diringankan hukuman kerana perlu menanggung dua orang anak yang kini dijaga oleh bekas isterinya, selain ia merupakan kesalahan pertamanya serta menyesal dengan perbuatan tersebut.
Namun demikian, Timbalan Pendakwa Raya Norshafatihah Nor Azmi memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat kerana perlu mengambil kira berat kesalahan yang dilakukan dan kepentingan awam.