Restoran Puzzle saji pelbagai menu istimewa pakej bufet Ramadan

Penganggur dipenjara, ugut bunuh bapa kerana enggan beri duit

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan melakukan ugutan jenayah bunuh terhadap bapanya.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap Jeremy Louis, 27, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapannya.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah bunuh terhadap bapanya di kediaman mereka pada 30 Julai lepas kerana enggan memberikan wang yang dimintanya untuk membeli barangan keperluan peribadi.

Semasa kejadian, tertuduh telah mengamuk dan bertindak agresif dengan membawa sebatang kayu serta sebilah parang seterusnya mengeluarkan kata-kata ugutan seperti “mati kau lepas tok” terhadap bapanya.

Oleh itu, tertuduh yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 17 Ogos lepas.

Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

E-Paper

21 Mac 2023

Latest News