MUKAH : Seorang penganggur ditahan dalam serbuan di hadapan perumahan Desa Merpati, di sini kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah di hadapan sebuah rumah di Desa Merpati.
“Hasil pemeriksaan menjumpai satu keratan straw kecil berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine (berat kasar 0.22 gram) yang dianggarkan bernilai RM50 daripada genggaman tangan kanan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya semasa disoal siasat, suspek mengaku terlibat dengan penagihan dadah sejak awal Januari lalu dan mendapatkan dadah dengan cara serahan tangan di sekitar kawasan pasar Mukah.
Muhamad Rizal berkata kesemua barang tersebut dirampas dan suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan dipenjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM 100,000 atau kedua-duanya sekali.