Penganggur ditahan sedang lalok

BAU: Tiga penganggur dicekup ketika sedang lalok, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Melayu Siniawan di sini sekitar jam 4.20 petang semalam.

Salah seorang suspek berusia 31 tahun adalah dari Kampung Melayu Siniawan manakala dua lagi yang berusia 28 tahun masing-masing dari Kampung Baharu, Sibu dan Taman Palma Indah Batu 8 Jalan Matang.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Supeti Superintendan Poge Nyaon, pemeriksaan turut menemui dadah jenis syabu seberat 0.45 gram dianggarkan bernilai RM80 di lantai rumah terbabit.

“Selain memiliki dadah, mereka juga didapati positif dadan jenis syabu dan amfetamin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Poge juga berkata ketiga-tiga mereka yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau akan dipohon reman mulai semalam.

Katanya sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan RM100,000 di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952.

Manakala di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan Perintah Pengawasan tidak kurang dua tahun.