PADAWAN: Tindakan ‘bijak’ seorang penganggur membuat laporan palsu bagi mengelak membayar hutang kawannya membawa padah apabila dia ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata lelaki berusia 20 tahun dari Kampung Sagah, Jalan Matang itu kantoi ketika disoal siasat selepas tampil ke Balai Polis Batu Kawah kira-kira jam 11.07 pagi semalam dengan menyatakan dirinya disamun pada kira-kira jam 11.30 malam Isnin lalu oleh sekumpulan tiga lelaki.
Katanya, suspek menyatakan beg sandangnya telah dilarikan oleh tiga lelaki terbabit, yang mengandungi kad pengenalan, wang tunai sebanyak RM285 dan juga telefon bimbit milik rakannya.
“Susulan laporan yang dibuat oleh suspek, pada kira-kira jam 1 petang, soal siasat terhadapnya telah dilakukan dengan diketuai oleh Inspektor Nyaum bersama-sama anggota D9 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padawan.
“Daripada soal siasat itu mendapati laporan yang dibuat oleh suspek adalah palsu dan hanya direka bagi mengelakkan dirinya membayar hutang rakannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, Abang Zainal berkata pada Februari lalu, suspek telah berhutang dengan kawannya sebanyak RM450 dan berjanji akan membayar secara ansuran sebanyak RM250 pada awal Mac dan RM200 pada pertengahan Mac.
Namun, katanya pada awal Mac, suspek hanya dapat membayar sebanyak RM165 dan apabila mula ditagih oleh rakannya itu, suspek mula membuat banyak helah bagi mengelak daripada melunaskan hutangnya.
Disebabkan itu, katanya suspek tampil ke balai polis membuat laporan mengatakan dirinya disamun dengan harapan rakannya akan mempercayai laporan yang dibuat dan akan memberi peluang serta masa yang lebih lama untuknya membayar hutang.
“Suspek juga takut rakannya itu akan memberitahu ibu bapanya dan mengambil apa-apa barang berharga milik keluarganya bagi melangsaikan hutangnya itu,” katanya.
Justeru, Abang Zainal berkata suspek telah ditahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.